KUALA LUMPUR 22 Ogos – Malayan Cement Berhad mengakhiri tahun kewangan 2025 (FY25) dengan keputusan cemerlang, mencatatkan keuntungan bersih teras RM687 juta, meningkat 35% tahun ke tahun (YoY).
Prestasi mantap ini mendorong beberapa firma penyelidikan mengekalkan saranan positif disokong oleh permintaan kukuh, pengurusan kos arang batu, serta potensi pertumbuhan projek infrastruktur mega.
Menurut MBSB Research, keuntungan Malayan Cement sejajar dengan jangkaan firma itu dan pasaran dengan dividen interim kedua 7 sen sesaham, menjadikan jumlah keseluruhan FY25 sebanyak 12 sen.
"Segmen simen mencatat pendapatan RM887.9 juta (+2.26% YoY) dengan untung operasi melonjak 69.4% YoY kepada RM280.3 juta, dipacu oleh kecekapan operasi dan margin yang kukuh," katanya.
Tambah firma berkenaan, walaupun volum jualan Malayan Cement didapati menurun sekitar 2%, hasil kumpulan berkenaan tetap stabil kerana kecekapan dan penurunan kos arang batu serta elektrik.
Kata MBSB Research, segmen agregat dan konkrit pula mencatat lonjakan pendapatan sebanyak 32.1% YoY kepada RM356.7 juta, dengan keuntungan operasi meningkat lebih 1.36 kali ganda.
Firma itu menjangkakan permintaan simen akan terus disokong oleh pelaksanaan projek-projek seperti MRT3 Lembah Klang, LRT Pulau Pinang, SEZ Johor-Singapura, dan pembangunan pusat data.
"Selain itu, prospek eksport dari kilangnya di Langkawi, Kedah dan kami mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran (TP) RM7.49 sesaham, berdasarkan nisbah perolehan 24 kali ganda," katanya.
Sementara itu, CCSI Research turut menilai keputusan kewangan terbaharu Malayan Cement pada FY25 sebagai amat menepati jangkaan, dengan melebihi sebanyak 104% daripada unjuran mereka sendiri.
Firma itu menekankan bahawa kumpulan ini tidak menaikkan harga jualan purata (ASP) seperti pesaing lain, iaitu satu strategi yang dijangka dapat membantu dalam mengukuhkan pegangan pasaran.
Katanya, tindakan itu khususnya dalam segmen konkrit siap bancuh (RMC) yang mencatat pertumbuhan permintaan kukuh, termasuk keperluan untuk pelbagai projek pusat data dan bangunan industri.
"Hasil kos pengeluaran rendah dan syarikat turut memiliki kelebihan dari aspek eksport ke Singapura melalui kilang di Langkawi serta dan kawalan 50% ruang terminal di Pelabuhan Jurong," katanya..
Susulan semakan naik unjuran pendapatan FY26 hingga FY27, GCSI meningkatkan TP kepada RM7.60 dan mengekalkan saranan 'tambah' dengan risiko penurunan melibatkan kelembapan projek infrastruktur.
Dalam pada itu, RHB Research pula menilai prestasi Malayan Cement bagi FY25 mengatasi jangkaan melepasi anggaran firma dan konsensus pasaran masing-masing 107% dan 111% daripada unjuran penuh.
Ini kata firma berkenaan, disumbangkan oleh faktor penurunan kos arang batu yang lebih rendah daripada ramalan asal, serta peningkatan margin keuntungan sebelum cukai kepada 22% (FY24: 15%).
"Segmen simen dan klinker, walaupun pendapatan susut 7% YoY, mencatat pertumbuhan 31% YoY, manakala margin mencapai 32%, dan bagi segmen konkrit, hasil meningkat 29% YoY," kata firma berkenaan.
RHB Research menegaskan bahawa Malayan Cement tidak menaikkan ASP, kerana yakin dengan margin semasa dan kestabilan kos input, terutama arang batu diunjur kekal RM70 setiap tan klinker.
Firma itu menaikkan unjuran pada FY26 hingga FY27 masing-masing sebanyak 7% dan 9%, serta memperkenalkan unjuran FY28 dengan keuntungan diunjur adalah stabil pada RM736 juta. - DagangNews.com








