KUALA LUMPUR 28 Jan - Focus Point Holdings Bhd berpotensi merekodkan keuntungan tertinggi pada 4QFY24 disokong pertumbuhan kukuh dalam segmen optik dan peningkatan sumbangan daripada bahagian makanan dan minuman (F&B).
RHB Investment berkata, jangkaan itu didorong pertumbuhan jualan kukuh daripada peningkatan populasi rabun (terutamanya kanak-kanak), jualan korporat yang teguh dan inisiatif pemasaran yang berkesan.
Katanya, kumpulan itu juga mencatatkan peningkatan kehadiran pelanggan di cawangan yang berada di kawasan tumpuan pelancong dan meramalkan trend itu berterusan.
"Kumpulan itu juga kekal optimis untuk FY25, dengan tumpuannya kepada pelanggan yang mencari produk premium, yang seharusnya melindunginya daripada sentimen pengguna yang lemah," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, Focus Point merancang untuk membuka 10 ingga 12 cawangan baharu pada FY25 khusus di lokasi pusat membeli-belah.
Katanya, walaupun pasaran yang kompetitif, pengurusan memberi petunjuk bahawa mereka boleh mendapatkan lokasi utama dan menghalang pesaing daripada memasukinya dibantu hubungan baiknya dengan pengusaha pusat beli-belah.
Walaupun tiada sasaran tetap untuk kedai francais, Focus Point sedang giat meneroka peluang francais bagi menguasai bahagian pasaran di lokasi jalan raya, dengan memanfaatkan ekuiti jenamanya yang kukuh.
RHB Investment berkata, kumpulan itu merancang untuk terus membuka cawangan Komugi di pusat beli-belah peringkat kedua di mana persaingan kurang sengit, bergantung kepada peluang yang ada.
"Untuk jualan F&B korporat, Family Mart menunjukkan prestasi yang baik, dengan rangkaian unit penyimpanan stok atau SKU yang semakin meluas dibekalkan.
"Sementara itu, prestasi HAP&PI tidak memenuhi jangkaan - Focus Point akan menilai semula kualiti dan strategi harganya, sambil turut menyasarkan untuk membekalkan pelanggan korporat," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM1.20 sesham. - DagangNews.com








