KUALA LUMPUR 15 Dis — Pembangunan di Zon Ekonomi Khas Johor–Singapura (JS-SEZ) terus menjadi pemangkin pertumbuhan kepada Kerjaya Prospek Group Berhad, kata Public Investment Bank.
Firma penyelidikan tersebut berkata, aktiviti ekonomi dan pembinaan di selatan tanah air membolehkan kumpulan berkenaan berjaya meraih projek kediaman terbaharu bernilai RM225 juta di Johor Bahru.
Syarikat itu menerima surat lantikan daripada Majestic Gen Sdn Bhd bagi pelaksanaan kerja-kerja pembinaan sebuah bangunan, yang menandakan kemenangan kontrak kedua kumpulan di Johor Bahru.
"Pencapaian ini mengukuhkan lagi kedudukan di wilayah yang dijangka menikmati pertumbuhan pesat, disokong oleh pembangunan rancak di JS-SEZ sendiri," kata PublicInvest dalam notanya hari ini.
Susulan kontrak baharu itu, pengisian buku tempahan baharu tahun ke tarikh (YTD) Kerjaya Prospek meningkat 14.3% kepada RM1.8 bilion, manakala yang terkumpul bertambah 5.5% kepada RM4.3 bilion.
Keadaan positif tersebut jelas firma berkenaan, berupaya dalam menyediakan tahap keterlihatan untuk pendapatan sehingga tempoh tiga tahun yang akan datang kepada Kerjaya Prospek sendiri.
PublicInvest turut mengekalkan unjuran pendapatan kerana projek tersebut sudah diambil kira dalam andaian pengisian buku tempahan bagi tahun kewangan 2025 (FY25) yang sebanyak RM2.0 bilion.
"Kami juga mengulangi saranan 'outperform' terhadap kumpulan ini dengan harga sasaran yang masih tidak berubah kepada RM3.10, berdasarkan penilaian 'sum-of-parts' (SOP)" kata firma berkenaan.
Projek terkini dimenangi Kerjaya Prospek di Johor Bahru melibatkan pembinaan Gen Sphere, sebuah menara pangsapuri servis 50 tingkat dengan komponen komersial yang terletak secara strategik.
Pembangunan ini merangkumi 996 unit, dua aras kemudahan rekreasi dan ruang komersial, dengan kerja pembinaan dijadualkan bermula pada 16 Januari 2026 dan siap dalam tempoh 38 bulan.
Menurut PublicInvest, momentum buku tempahan kekal kukuh, manakala pendedahan di Johor meletakkan ia kedudukan terbaik memanfaatkan limpahan pembangunan JS-SEZ dan infrastruktur rentas sempadan.
"Pada masa sama, Kerjaya Prospek turut giat memperkukuh bank tanah bagi menyokong pertumbuhan mampan segmen pembangunan hartanah pada masa depan," jelas firma itu. - DagangNews.com








