KUALA LUMPUR 1 Dis – Pertumbuhan Kerjaya Prospek Group Berhad terus mengukuh positif dengan aliran banyak projek baharu yang mantap serta landasan pembangunan hartanah yang lebih luas.
Dua firma penyelidikan tempatan turut mengekalkan nada yang optimis terhadap syarikat pembinaan itu berikutan momentum pengisian semula buku tempahan dilihat sebagai berpotensi mencapai paras rekod.
Antaranya, RHB Research yang mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran baharu (TP) RM3.45, bagi mencerminkan 22% potensi kenaikan, serta menilai kumpulan berada pada posisi cukup kukuh.
"Kerjaya Prospek berupaya mencatat pengisian semula buku tempahan mencecah RM2.1 bilion pada FY25, jika tender bernilai RM500 juta yang kini dalam penilaian itu dimuktamadkan akhir tahun," katanya.
Firma itu menambah, pembangunan Andaman Island terus menjadi penyumbang utama, berpotensi menjana RM500 juta nilai kontrak setiap tahun, selain peluang tambahan pakej kerja penambakan RM300 juta.
Dalam segmen hartanah, syarikat itu jelas RHB Research, memiliki tanah pembangunan 36 hektar dan 92% di Pulau Pinang, dengan potensi nilai pembangunan kasar (GDV) sekurang-kurangnya RM3 bilion.
Projek semasa seperti The Vue@Monterez dan Papyrus@North Kiara menunjukkan momentum jualan kukuh, sebelu projek baharu dilancar di Jalan Puchong (GDV RM800 juta) dan Tanjung Bunga (GDV RM830 juta).
"Berikutan semakan semula jangkaan aliran projek, kami menaikkan unjuran hasil FY26 hingga FY27 sebanyak 3%, tetapi memberi amaran risiko kelembapan pasaran hartanah dan tekanan kos," katanya.
Sementara itu, TA Securities juga mengekalkan penarafan 'beli' namun TP disemak naik kepada RM3.39, disokong oleh keyakinan terhadap keupayaan Kerjaya Prospek mengekalkan rentak tempahan baharu.
Setakat tahun ini, syarikat berkenaan jelas firma itu, meraih sekitar RM1.6 bilion kontrak baharu, meningkatkan buku tempahannya kepada RM4.1 bilion, yang bersamaan 2.2 kali hasil pembinaan FY24.
Ia menekankan 73% daripadanya datang daripada kontrak pihak berkaitan, memberi kelebihan dari segi kelancaran pelaksanaan dan margin stabil, selain saluran tender luar bernilai lebih RM3 bilion.
"Ini termasuk sejumlah projek kediaman, dua tender untuk pusat data, serta peluang dalam segmen industri melalui usaha sama dengan Samsung C&T yang bernilai RM3 bilion," jelas TA Securities.
Salah satu tender pusat data kini berada pada fasa pemuktamadan dan dijangka dianugerahkan tidak lama lagi, berpotensi menambah sekurang-kurangnya RM1 bilion kepada buku tempahan Kerjaya Prospek.
Dalam segmen pembangunan hartanah pula jelasnya, syarikat kekal berada di landasan kukuh dengan bank tanah 32 hektar, tidak termasuk projek akan dilancar, di samping kedudukan tunai RM327 juta.
Situasi itu membolehkan syarikat berkenaan meneroka peluang pemerolehan tanah baharu, dengan TA Securities menaikkan unjuran pendapatan pada FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 1.4% dan 3.9%.
"Kami optimis margin untung dijangka kekal stabil pada paras keuntungan selepas cukai 10% hingga 12% dan berada pada kedudukan kukuh meneruskan pertumbuhan tiga tahun akan datang," katanya. - DagangNews.com








