KUALA LUMPUR 11 Dis – CGS International memberi amaran pertumbuhan Inari Amertron Berhad bagi tahun kewangan 2026 dijangka perlahan, terutama ekoran prestasi suram segmen frekuensi radio (RF).
Kata firma penyelidikan tersebut, selama ini segmen berkenaan menjadi teras utama kepada perniagaan syarikat teknologi yang berpangkalan di Bayan Lepas, Pulau Pinang itu sejak ditubuhkan pada 1997.
Jelasnya lagi, walaupun eksport telefon pintar pasaran global menunjukkan pemulihan, kelemahan berterusan untuk muatan produk RF dijangka mengekang lonjakan pendapatan dalam tempoh terdekat.
"Berdasarkan perkembangan semasa itu, kami namun menaik taraf saranan kepada 'pegang' dengan harga sasaran yang lebih tinggi iaitu RM1.85 sesaham," kata CGSI dalam satu nota kajiannya hari ini.
Meskipun permulaan tahun kewangan 2026 kelihatan mencabar, firma tersebut menekankan bahawa Inari masih mempunyai pemacu pertumbuhan daripada dua bahagian utama antaranya segmen komunikasi data.
Kumpulan itu sudah menggandakan kapasiti loji P13 bagi memenuhi permintaan alat penerima optik, sejajar peralihan global daripada teknologi model 400G kepada 800G dalam pusat data generasi baharu.
Selain itu kata CGSI, syarikat menyiapkan barisan pengeluaran pengawal voltan berkelajuan tinggi bagi modul cip kecerdasan buatan (AI), dan memulakan pengeluaran volum rendah pelbagai produk.
"Semua langkah strategik dirancang Inari itu untuk menembusi pasaran komponen AI yang berkembang pesat, dan cuba mengimbangi segmen RF daripada terus lemah dalam jangka sederhana," jelasnya.
Segmen berkenaan tambahnya, terus dinilai menjadi liabiliti jangka pendek apabila hasil RF susut 21.2% tahun ke tahun (YoY) dalam 1QFY26, menandakan empat suku berturut-turut prestasi lemah.
Pelanggan utamanya di Amerika Syarikat (AS) semakin mengutamakan modul RF frekuensi lebih tinggi, berbanding modul frekuensi sederhana dan komponen jenis 'diskret' yang menjadi kekuatan Inari.
Bagaimanapun, kumpulan itu kata CGSI, masih mempunyai kedudukan strategik penting termasuk komponen RF yang dihasilkan pesaing lain, tetapi kemudian perlu diuji akhir oleh Inari sendiri.
"Aktiviti margin tinggi ini membantu mengimbangi kejatuhan volum RF dan kami melihat faktor jangka panjang boleh membantu pemulihan RF, termasuk kitaran penggantian telefon pintar AI," katanya.
Di samping itu jelas firma tersebut, pertumbuhan tinggi kandungan RF per peranti dan peningkatan prospek pelanggan utama susulan konsolidasi dua pesaing global RF juga akan membantu syarikat.
CGSI juga mengambil kira potensi jangka panjang, margin kasar kukuh hasil kawalan kos dan penurunan 22% harga saham sejak 27 November 2025, menjadikan penilaian seimbang. - DagangNews.com








