KUALA LUMPUR 27 Ogos – MBSB Research mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Al-`Aqar Healthcare REIT, dengan unjuran pertumbuhan pendapatan yang dijangka kekal mendatar dalam tempoh terdekat.
Firma penyelidikan itu masih mengekalkan harga sasaran (TP) kepada RM1.26 sesaham dan berkata prestasi kewangan bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 adalah sejajar dengan jangkaannya.
Situasi berkenaan tambahnya, turut disokong oleh faktor perbelanjaan yang lebih rendah meskipun hasil didapati adalah sedikit terjejas berikutan pelupusan Damai Care & Wellness Centre.
“Kami melihat prospek pendapatan kekal rata dengan sumbangan sewa aset kesihatan diunjur stabil, manakala pemerolehan hospital baharu akan menyumbang pertumbuhan hasil sederhana,” jelas MBSB Research dalam notanya.
Al-`Aqar Healthcare REIT mencatat pendapatan teras bersih sebanyak RM31.9 juta bagi tempoh separuh pertama (1HFY25), yang mewakili 47% daripada unjuran tahun penuh firma penyelidikan itu.
Bagi suku kedua FY25 (2QFY25), pendapatan teras bersih meningkat kira-kira 1.9% suku ke suku (QoQ) kepada RM16.1 juta, meskipun hasil keseluruhan susut sebanyak 1.2% QoQ kepada RM28.5 juta.
Peningkatan tersebut kata MBSB Research, dipacu oleh keadaan penurunan kos penyelenggaraan hartanah sebanyak 17% QoQ.
Secara tahunan pula, pendapatan bersih teras suku tersebut meningkat 5% tahun ke tahun (YoY), turut disumbangkan oleh penurunan kos hartanah sebanyak 28.6% YoY.
"Ini menjadikan jumlah pendapatan teras bersih 1HFY25 meningkat 0.5% YoY kepada RM31.9 juta, manakala hasil keseluruhan menurun pula sebanyak 2% YoY," kata firma berkenaan
Penurunan hasil tahunan itu adalah kesan langsung daripada kehilangan pendapatan daripada sewa Damai Care & Wellness Centre susulan pelupusan aset tersebut.
Bagaimanapun kata MBSB Research, impak tersebut diredakan oleh kenaikan sewa tahunan bagi portfolio hartanah penjagaan kesihatan sedia ada.
Al-`Aqar turut mengumumkan pengagihan dividen sebanyak 1.74 sen sesaham bagi 2QFY25, menjadikan jumlah pengagihan bagi 1HFY25 kepada 3.47 sen sesaham.
"Keadaan ini menyumbang kepada hasil pengagihan bersih dianggarkan sebanyak 5.1%," jelas firma penyelidikan tersebut.
MBSB Research menjangkakan pertumbuhan pendapatan sederhana boleh dicapai menerusi pengambilalihan dua bangunan hospital baharu daripada KPJ Healthcare Berhad, iaitu KPJ Ampang Puteri dan KPJ Pulau Pinang.
Namun begitu, firma itu mengekalkan unjuran pendapatan bagi FY25F dan FY26F yang tidak berubah, serta mengekalkan TP pada RM1.26 sesaham, berdasarkan model diskaun dividen.
“Secara keseluruhan, kami mengekalkan saranan 'neutral' terhadap Al-`Aqar Healthcare REIT memandangkan pertumbuhan pendapatan yang mendatar walaupun asas perniagaan kekal stabil,” tambahnya. - DagangNews.com








