Pertumbuhan eksport di pasaran ASEAN bantu Duopharma imbangi tekanan konflik Timur Tengah - UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan eksport di pasaran ASEAN bantu Duopharma imbangi tekanan konflik Timur Tengah - UOBKH

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 13 April – Duopharma Biotech Bhd dijangka terus mencatat prestasi kukuh meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, disokong oleh pendedahan minimum kepada pasaran Timur Tengah serta momentum pertumbuhan eksport di rantau Asean, kata UOB Kay Hian (UOBKH) Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata sumbangan eksport syarikat itu kekal kecil, iaitu sekitar 6% daripada jumlah jualan pada 2025, dengan kurang daripada 5% datang daripada pasaran Timur Tengah yang kini terkesan oleh ketegangan geopolitik.

 

Katanya, pertumbuhan eksport pada 2026 dijangka dipacu oleh permintaan kukuh dari Filipina dan pemulihan pasaran Singapura.

 

“Prestasi eksport akan terus disokong oleh jualan biosimilar Erythropoietin di Filipina yang menyumbang kira-kira 40% daripada eksport, selain pemulihan di Singapura (36%) selepas aktiviti penyusutan inventori tahun lalu,” katanya dalam satu nota kajian.

 

Dalam masa sama, UOBKH Research berpandangan risiko rantaian bekalan adalah terkawal susulan langkah proaktif Duopharma meningkatkan paras inventori.

 

Katanya, syarikat itu telah menambah tempoh simpanan stok barangan siap daripada dua hingga tiga bulan kepada empat hingga enam bulan, selain merancang untuk meningkatkan simpanan bahan farmaseutikal aktif (API) sehingga tujuh hingga lapan bulan bagi produk utama.

 

“Strategi ini memberi tumpuan kepada ubat-ubatan penting dan berisipadu tinggi, sekali gus membantu syarikat mengurangkan risiko gangguan bekalan pada masa hadapan,” jelasnya.

 

Dari segi kos, tekanan yang dihadapi dilihat terhad dan hanya melibatkan sebahagian kecil perniagaan.

 

Menurut laporan itu, kurang daripada 5% hasil syarikat terkesan oleh kenaikan harga API, terutamanya bagi paracetamol yang mencatat peningkatan antara 30% hingga 50%.

 

Namun, kesan tersebut dijangka dapat diimbangi oleh penggunaan inventori sedia ada serta peningkatan permintaan.

 

UOBKH Research turut menarik perhatian kekurangan bekalan Panadol pada 2024 telah mendorong jualan produk Uphamol ke paras tertinggi, sekali gus menunjukkan potensi peningkatan volum yang boleh menampung tekanan kos.

 

Dari sudut kontrak, Duopharma baru-baru ini memperoleh dua surat anugerah berkaitan insulin bertarikh 16 Februari 2026, termasuk kontrak bernilai RM52.5 juta bagi tempoh dua tahun melalui tender serta RM65.1 juta untuk tempoh tiga bulan melalui rundingan terus sebagai kontrak sementara.

 

Firma penyelidikan itu berkata, syarikat kini menunggu keputusan bagi kontrak insulin manusia jangka panjang selama tiga tahun daripada Kementerian Kesihatan, yang dijangka dimuktamadkan dalam masa terdekat.

 

“Ini susulan kontrak terdahulu bernilai RM375 juta yang telah tamat pada April 2025,” katanya.

 

Sehubungan itu, UOBKH Research mengekalkan saranan “beli” terhadap saham Duopharma dengan harga sasaran RM1.62 sesaham, didorong oleh profil pendapatan defensif serta potensi peningkatan daripada pergerakan kadar pertukaran asing. - DagangNews.com