Pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal 4.4% pada 2Q25, didorong permintaan kukuh domestik - BNM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan ekonomi Malaysia kekal 4.4% pada 2Q25, didorong permintaan kukuh domestik - BNM

GABENOR Bank Negara Malaysia, Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour (kanan) dan Ketua Perangkawan Jabatan Perangkaan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin menunjukkan dokumen ekonomi Malaysia pada suku kedua 2025. - Foto ihsan BNM
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Ogos — Ekonomi Malaysia kekal berkembang 4.4 peratus pada suku kedua 2025, seperti suku sebelum ini, didorong oleh permintaan kukuh dalam negeri, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).

 

Perbelanjaan isi rumah masih mampan berikutan keadaan pasaran pekerja yang positif dan langkah-langkah dasar berkaitan pendapatan, termasuk semakan kenaikan gaji minimum dan gaji penjawat awam.

 

BNM menambah, pengembangan pelaburan turut lebih teguh dijana pelaksanaan projek baharu dan sedia ada, namun pertumbuhan eksport lebih perlahan disebabkan eksport berkaitan komoditi yang rendah.

 

"Bagaimanapun keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh eksport elektrik dan elektronik (E&E) yang lebih baik serta aktiviti pelancongan semakin positif," kata bank pusat itu dalam satu kenyataan.

 

Pada masa yang sama jelasnya, pertumbuhan import didapati lebih tinggi, didorong oleh permintaan kukuh untuk barangan modal dan perkembangan ini mencerminkan aktiviti pelaburan yang lebih tinggi.

 

Dari segi penawaran pula kata BNM, pertumbuhan didorong oleh sektor perkhidmatan dan perkilangan, manakala sektor perkhidmatan disokong oleh perkhidmatan yang berkaitan pengguna dan kerajaan.

 

Tambahnya, pertumbuhan stabil kelompok berorientasikan dalam negeri menyokong prestasi sektor perkilangan dan secara keseluruhan, pertumbuhan terjejas oleh penguncupan sektor perlombongan.

 

"Ia berikutan pengeluaran komoditi rendah dan pada asas suku tahunan terlaras secara bermusim, pertumbuhan berkembang sebanyak 2.1 peratus berbanding 0.7 peratus pada suku pertama," katanya.

 

Inflasi keseluruhan pula jelas BNM, menurun kepada 1.3 peratus daripada 1.5 peratus pada suku sebelumnya, manakala inflasi teras adalah masih lagi kekal stabil kepada sebanyak 1.8 peratus.

 

Penurunan ini sebahagian besarnya disebabkan oleh harga bahan api lebih rendah dan peningkatan perlahan harga bagi item berkaitan makanan khususnya makanan segar dan makanan di luar rumah.

 

Keadaan ini sebahagiannya diimbangi oleh penurunan harga yang lemah untuk perkhidmatan komunikasi mudah alih, dengan purata sebanyak -12.1 peratus berbanding -13.5 peratus pada suku pertama 2025.

 

"Rebakan inflasi berdasarkan bahagian item Indeks Harga Pengguna (IHP) mengalami sedikit penurunan berikutan harga komoditi global yang lebih rendah (41.8%; suku pertama 2025: 43.3%)," kata BNM.

 

Kenaikan IHP tambah bank pusat berkenaan, secara amnya adalah kekal selaras dengan purata jangka panjang bagi suku kedua yang pernah mencatatkan 43.9 peratus pada suku kedua 2011 hingga 2019.

 

Ringgit pula menambah nilai berbanding mata wang rakan dagangan utama Malaysia pada suku itu, dengan kadar pertukaran efektif nominal (NEER) yang didapati bertambah sebanyak 1.5 peratus.

 

Ia juga mengukuh 5.1 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), yang sebahagian besarnya didorong oleh kelemahan mata wang negara berkenaan sendiri secara meluas di pasaran antarabangsa.

 

"Keadaan ini disebabkan jangkaan pertumbuhan lebih perlahan ekonomi AS, ketidakpastian semakin ketara berhubung dengan dasar perdagangan dan kebimbangan terhadap kestabilan fiskal AS," katanya.

 

Selain itu tambah BNM, usaha terselaras dilaksanakan kerajaan dan BNM, termasuk libat urus dengan syarikat korporat dan pelabur, menggalakkan aliran dua hala pasaran pertukaran asing domestik.

 

Kadar ringgit kata bank berkenaan, akan terus dipengaruhi faktor luaran, namun prospek ekonomi Malaysia dan pembaharuan struktur dalam negeri dijangka kekal memberikan sokongan kepada ringgit.

 

BNM jelasnya, bersama-sama dengan pelbagai inisiatif secara berterusan bagi menggalakkan aliran, kekal komited untuk memastikan fungsi pasaran pertukaran asing domestik yang teratur. - DagangNews.com