Pertumbuhan buah tandan segar Kim Loong diunjur naik hingga 10% didorong umur pokok - TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan buah tandan segar Kim Loong diunjur naik hingga 10% didorong umur pokok - TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Mac - Kim Loong Resources Berhad diunjur mampu meraih pengeluaran buah tandan segar (BTS) kelapa sawit yang berkembang baik antara sebanyak lima hingga 10 peratus pada tahun kewangan 2026 (FY26), menurut TA Securities.
 

Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan positif itu dengan pihak pengurusan syarikat itu mengambil kira profil umur tanaman sawit muda yang bertambah baik di kawasan produktif hasil daripada program penanaman semula secara berterusan.
 

Pengurusan katanya, turut berhasrat merancang untuk menanam semula banyak pokok baharu melibatkan keluasan kira-kira 300 hingga 500 hektar lagi pada FY26, yang menyaksikan penurunan berbanding sejumlah 1,300 hektar pada FY25.
 

"Kami meramalkan prospek harga minyak sawit mentah (MSM) lebih berhati-hati, dipengaruhi eksport dan permintaan lemah daripada negara pengimport utama, serta jangkaan peningkatan dalam bekalan minyak sayuran global," katanya dalam nota kajian.
 

TA Securities merujuk laporan penurunan keuntungan bersih sebanyak 8.49 peratus bagi suku keempat berbanding tahun sebelumnya, apabila pengeluaran BTS lebih rendah dan peningkatan kos operasi mengimbangi hasil lebih tinggi yang diperolehnya.
 

Ia berlaku ketika harga jualan MSM pula lebih tinggi namun keuntungan bersih Kim Loong bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Januari 2025 (4QFY2025) ialah RM22.8 juta, turun daripada RM24.91 juta pada tempoh suku sama tahun sebelumnya.
 

Hasil pendapatan suku tahunan bagaimanapun meningkat sebanyak 21.4 peratus menjadi RM443.32 juta berbanding hanya RM365.16 juta, kerana faktor purata harga jualan MSM melonjak 33 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM4,944 satu tan.
 

"Melangkah ke hadapan tahun asas penilaian kami kepada CY26, harga sasaran (TP) telah disemak kepada RM2.47 daripada RM2.58 berikutan pelarasan pendapatan dengan nisbah perolehan tidak berubah sebanyak 16 kali," kata TA Securities.
 

Firma tersebut bagaimanapun masih lagi mengekalkan saranan "Beli" setelah melaraskan ramalan pendapatan pada FY26 dan FY27 masing-masing sebanyak 0.7 peratus dan 5.5 peratus, sebagai mencerminkan andaian pertumbuhan BTS yang lebih tinggi.
 

Unjuran tersebut katanya sejajar dengan panduan pengurusan dan margin yang lebih baik setelah Kim Loong mengisytiharkan dividen interim satu peringkat kedua sebanyak 5.0sen setiap sahamnya untuk suku dalam tinjauan.
 

Untuk FY25, keuntungan operasi meningkat 5.8 peratus Y-o-Y kepada RM117.4 juta, didorong oleh margin pemprosesan dan kecekapan pengilangan lebih baik selain harga jualan purata MSM naik sebanyak 12.4 peratus YoY kepada RM4,291/tan. - DagangNews.com