Pertikaian projek 8 Conlay: GDB menang kes adjudikasi RM83 juta lawan KSK Land | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertikaian projek 8 Conlay: GDB menang kes adjudikasi RM83 juta lawan KSK Land

Ilustrasi artis projek 8 Conlay Kuala Lumpur
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Nov – Syarikat pembinaan GDB Holdings Bhd (GDB) memperoleh perintah mahkamah bagi menguatkuasakan keputusan adjudikasi bernilai RM83 juta terhadap KSK Land Sdn Bhd berhubung pertikaian pembayaran selepas penamatan kontrak utama projek mewah 8 Conlay di ibu negara.

 

8 Conlay adalah projek pembangunan mewah yang akan menempatkan hotel mewah lima bintang, The Kempinski Hotel Kuala Lumpur (Menara C), dua menara kediaman berjenama (Menara A dan Menara B), yang direka sebagai menara berkembar `berpintal’ tertinggi di dunia. 

 

 

 

 

 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, GDB berkata Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membenarkan permohonan anak syarikatnya, Grand Dynamic Builders Sdn Bhd (GDBSB) untuk menguatkuasakan keputusan adjudikasi tersebut.

 

Pada masa sama, permohonan anak syarikat KSK Land, Damai City Sdn Bhd untuk membatalkan dan menangguhkan keputusan itu telah ditolak oleh mahkamah.

 

“Susulan keputusan itu dan menurut Seksyen 28 Akta Pembayaran Industri Pembinaan dan Adjudikasi 2012 (CIPAA), keputusan adjudikasi tersebut kini mempunyai kuasa dan kesan yang sama seperti penghakiman atau perintah Mahkamah Tinggi bagi tujuan penguatkuasaan,” kata GDB.

 

Keputusan adjudikasi yang diperoleh pada Februari lalu merangkumi RM76.55 juta bagi jumlah yang telah disahkan dan belum disahkan termasuk baki pegangan serta faedah, RM5.93 juta sebagai faedah lewat bayar dan RM158,844.80 untuk kos prosiding adjudikasi.

 

Pertikaian antara GDBSB dan Damai City bermula pada tahun 2022 berhubung bayaran lewat bagi kerja-kerja pembinaan projek 8 Conlay.

 

Akibat kelewatan itu, GDBSB pernah menggantung kerja di tapak dan menuntut bayaran tertunggak melebihi RM120 juta.

 

Selepas sebahagian bayaran dibuat, kerja disambung semula pada Januari 2023 dan tuntutan ditarik balik, namun masalah berulang apabila Damai City gagal membayar ansuran pada April 2023.

 

Kegagalan itu mendorong Damai City menamatkan kontrak bernilai RM1.25 bilion yang diberikan kepada GDBSB sebagai kontraktor utama projek tersebut.

 

Susulan itu, GDBSB memulakan prosiding adjudikasi pada Mei 2023 bagi menuntut bayaran tertunggak sebanyak RM102.08 juta. 

 

Pada Ogos 2024, tribunal adjudikasi memutuskan bahawa Damai City perlu membayar RM59.32 juta kepada GDBSB bagi kerja-kerja pembinaan yang telah dilaksanakan.

 

GDBSB kemudian memperoleh perintah mahkamah bagi menguatkuasakan keputusan tersebut pada April 2025.

 

 

 

 

 

 

Selain itu, GDBSB turut memfailkan petisyen penggulungan terhadap KSK Land pada Januari 2024 berhubung kegagalan syarikat itu melunaskan bayaran tertunggak.

 

Dengan keputusan terbaru ini, GDB kini boleh mengambil tindakan lanjut bagi menguatkuasakan keputusan adjudikasi tersebut yang mempunyai kekuatan undang-undang setara dengan penghakiman Mahkamah Tinggi. - DagangNews.com