Pertikaian PETRONAS-Petros masih menggugat sentimen sektor minyak dan gas, menurut UOBKH | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertikaian PETRONAS-Petros masih menggugat sentimen sektor minyak dan gas, menurut UOBKH

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 Jun — Ketidaktentuan berhubung pertikaian PETRONAS dan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) terus menjadi faktor utama yang menggugat sentimen pelabur sektor minyak dan gas (O&G).

 

Menurut analisis UOB Kay Hian (UOBKH), isu kes itu masih lagi membayangi mereka meskipun prospek aktiviti huluan negara kekal rancak disokong pelbagai projek baharu yang sedang dipercepatkan.


Dalam keadaan pasaran semakin berhati-hati, ia namun berpandangan terdapat beberapa saham yang dianggap sebagai 'permata tersembunyi' dalam sektor O&G dan berpotensi mencatat prestasi baik.


"Justeru kami tidak mengubah penarafan 'neutral' terhadap sektor ini sambil mengekalkan pendekatan berwaspada sehingga terdapat kejelasan berhubung penyelesaian isu PETRONAS-Petros," tambahnya.


Ujar UOBKH, PETRONAS dilihat kekal komited untuk mempercepatkan pelaksanaan projek-projek baharu bagi dapat mengekalkan sasaran pengeluaran domestik sebanyak dua juta tong setara minyak sehari.


Selain itu, syarikat petroleum kebangsaan tersebut mempergiatkan aktiviti penerokaan bagi menjamin pertumbuhan jangka panjang, dengan unjuran harga minyak kini pada paras sokongan yang lebih jelas.


Firma itu berpandangan, situasi ketika ini masih dipengaruhi oleh perkembangan konflik di rantau Timur Tengah selepas sudah lebih 100 hari dan usaha pemulihan infrastruktur O&G yang terjejas.


"Antara saham pilihan utama sektor ini pada ketika ini ialah MISC Berhad, Dialog Group Berhad, Uzma Berhad, Deleum Bhd, Dayang Enterprise Holdings Bhd dan Hibiscus Petroleum Bhd," kata UOBKH.

 


sektor minyak dan gas_DagangNews2026



Tambahnya, sebarang keputusan positif berkaitan pertelingkahan PETRONAS-Petros berpotensi menjadi pemangkin besar kepada penilaian sektor kerana ia mampu mengurangkan diskaun penilaian semasa.


Bagi MISC, ia mengekalkan saranan 'beli' dan harga sasaran (TP) RM9.50, disokong prospek positif segmen kapal tangki minyak mentah yang dijangka menjadi pemangkin utama dalam tempoh terdekat.


UOBKH turut melihat komitmen perbelanjaan modal (capex) semakin naik dan penghantaran kapal baharu menjelang 2028 sebagai petunjuk syarikat memperkukuh kapasiti bagi memenuhi permintaan masa depan.


"Sementara itu, Dialog terus menjadi antara pilihan utama kami dengan saranan 'beli' dan TP RM2.95 sesaham kerana berpotensi mencatat kejutan positif dari segi pendapatan huluan," jelas firma itu.


Ia susulan jangkaan pengeluaran baharu daripada kontrak perkongsian pengeluaran (PSC) Cendramas pada suku ketiga tahun kewangan 2026 serta PSC Baram Junior Cluster yang bermula akhir tahun ini.


Sehubungan itu, UOBKH percaya prospek saham Dialog wajar diberikan penilaian yang bertaraf premium berikutan potensi positif peningkatan pendapatan huluan kumpulan berkenaan dalam tempoh terdekat.


Secara keseluruhan, ia berpandangan sektor O&G Malaysia masih mempunyai asas yang kukuh disokong pelbagai aktiviti pembangunan medan baharu dan perbelanjaan secara berterusan PETRONAS sendiri.


"Bagaimanapun, pelabur disaran agar mengekalkan pendekatan 'tunggu dan lihat' sehingga isu antara PETRONAS-Petros mencapai penyelesaian yang lebih jelas," kata firma itu. - DagangNews.com