TA Securities: Ann Joo jual tanah di Gurun kurangkan kerugian disebabkan prestasi keluli lemah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

TA Securities: Ann Joo jual tanah di Gurun kurangkan kerugian disebabkan prestasi keluli lemah

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 11 Jun — Kelemahan berterusan perniagaan teras keluli serta tekanan margin akibat harga jualan purata (ASP) yang rendah terus membelenggu prospek pemulihan Ann Joo Resources Berhad.

 

Perkembangan negatif tersebut menurut TA Securities, menyebabkan syarikat itu dilihat semakin bergantung kepada pelupusan aset tanahnya bagi memperkukuh aliran tunai dan mengurangkan kerugian besar.


Langkah kumpulan itu yang melupuskan tanah perindustrian seluas 25 hektar di Taman Perindustrian Berat Gurun, Kedah pada harga RM119.6 juta dilihat positif kerana turut mampu menjana keuntungan.


"Usaha tersebut dijangka menambah baik kedudukan kewangan Ann Joo Resources selepas dijual melalui anak syarikat tidak langsung milik 99.99%, Gurun Heavy Industrial Park Sdn Bhd (GHIP)," katanya.


Ujar TA Securities, berdasarkan struktur pembangunan bersama yang dimeterai dengan Transyear Sdn Bhd, kumpulan itu dijangka menerima hasil kasar sekitar RM69.2 juta daripada transaksi tersebut.


Selepas diambil kira kadar cukai korporat sebanyak 24%, firma penyelidikan tersebut menganggarkan pelupusan itu boleh menyumbang keuntungan bersih kira-kira RM32.1 juta kepada kumpulan berkenaan.


Jelasnya, walaupun jumlah itu tidak cukup menghapuskan sepenuhnya unjuran kerugian FY26 sebanyak RM74.3 juta, ia berpotensi mengurangkan kerugian Ann Joo Resources yang dijangka kira-kira 43%.



Artikel berkaitan: Ann Joo jual tanah perindustrian RM119.6 juta di Gurun kepada Zichen


"Sebanyak RM33 juta daripada hasil pelupusan itu digunakan untuk pembayaran balik pinjaman dan mengurangkan tahap hutang, manakala baki diperuntukkan sebagai modal kerja," kata TA Securities.


Ia menyifatkan transaksi tersebut sebagai bukti permintaan masih kukuh terhadap tanah GHIP dan merupakan kedua selepas penjualan tanah seluas 24 hektar bernilai RM117.8 juta pada Mac lalu.


Lebih menarik jelas firma penyelidikan berkenaan, Ann Joo Resources sebenarnya masih lagi memiliki kira-kira 127.8 hektar tanah yang belum pun dibangunkan dalam kawasan perindustrian tersebut.


Berdasarkan andaian harga jualan yang sama iaitu RM44 sekaki persegi, TA Securities menganggarkan baki tanah itu berpotensi menjana keuntungan pelupusan terkumpul mencecah sehingga RM624.6 juta.


"Bagaimanapun, kami kekal berhati-hati terhadap prospek perniagaan teras syarikat kerana tekanan margin dan kelemahan harga keluli masih berterusan tanpa pemulihan dalam masa terdekat," katanya.


Justeru, ia mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham Ann Joo Resources tetapi menurunkan harga sasaran kepada 54 sen daripada 60 sen sebelum ini selepas menyemak semula penilaian kumpulan.


Menurutnya, walaupun pelupusan tanah mampu menyokong hasil dan aliran tunai jangka pendek, prospek pemulihan keuntungan keseluruhan syarikat masih memerlukan masa untuk lebih mampan. - DagangNews.com