IPOH 11 Jun - Menara Taiko memperkenalkan konsep ruang sewa pejabat korporat moden untuk memenuhi keperluan operasi perniagaan masa kini.
Konsep tersebut menawarkan ruang pejabat premium yang siap digunakan sebaik sahaja penyewa memasuki premis.
Lokasinya pula strategik iaitu di Jalan Sultan Nazrin Shah di tengah-tengah pusat bandar Ipoh serta mempunyai tempat letak kereta mencukupi.
Ia menawarkan 4 jenis ruang pejabat yang sesuai untuk operasi 4 hingga 10 orang pada harga sewa RM2,000 hingga RM5,500 seunit sebulan.

Pegawai Pembangunan Perniagaan Taiko Consultants Sdn. Bhd., Alicia Tang berkata, konsep ruang sewa pejabat korporat moden ini merupakan pertama seumpamanya di Ipoh dan negeri Perak.
Menurut beliau, konsep ini berbeza daripada ruang kerja bersama (co-working space) kerana setiap syarikat mempunyai ruang pejabat tersendiri yang lebih eksklusif dan profesional.
“Penyewa boleh memilih tempoh sewaan yang fleksibel bermula dengan komitmen minimum 12 bulan serta pilihan sewaan jangka panjang.
“Penyewa tidak perlu mengeluarkan kos tambahan untuk kerja ubah suai atau pembelian perabot pejabat kerana ia dilakukan oleh pihak kami.


“Ini dapat menjimatkan kos pelaburan awal yang lazimnya mencecah antara RM30,000 hingga RM80,000 untuk kerja pengubahsuaian dan penyediaan pejabat baharu.
“Konsep ruang pejabat korporat moden di ini diyakini mampu menjadi penanda aras baharu dalam industri hartanah komersial dan menjadi pilihan utama komuniti perniagaan di Ipoh serta Perak,” ujarnya semasa sesi lawatan ke Business Centre @ Menara Taiko di sini.
Setiap suite pejabat dilengkapi dengan kemudahan moden serta susun atur yang direka mengikut keperluan masakini.
Selain itu, kos sewaan juga termasuk caj utiliti dan capaian internet berkelajuan tinggi lantas ia menjimatkan pengurusan kos operasi.


Jelas Alicia, konsep itu membolehkan syarikat memulakan operasi dengan segera tanpa perlu menanggung perbelanjaan modal yang tinggi.
“Konsep tersebut sesuai untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), syarikat pemula (startup), pejabat satelit syarikat multinasional serta firma perkhidmatan profesional.
“Suasana kerja yang ditawarkan lebih kondusif, tenang dan eksklusif berbanding di pusat perniagaan yang mempunyai jumlah penyewa terlalu padat,” ujarnya.
Tambahnya, penyewa turut menikmati perkhidmatan kaunter hadapan profesional termasuk pengurusan surat-menyurat dan sambutan pelawat sepanjang waktu pejabat. - DagangNews.com








