KUALA LUMPUR 24 Feb – Pertikaian hak petroleum antara Sarawak dan kerajaan Persekutuan berkemungkinan lebih mudah diselesaikan secara politik berbanding melalui perundangan walaupun negeri itu telah membawa kes tersebut ke Mahkamah Persekutuan, menurut NewParadigm Research.
Firma penyelidikan itu berkata tindakan Sarawak itu dilihat sebagai kemuncak ketegangan antara negeri - Persekutuan dalam sektor minyak dan gas, yang telah lama menjadi isu sensitif sejak beberapa dekad lalu.
“Tindakan membawa pertikaian ke mahkamah mungkin memberi kesan negatif kepada keyakinan pelabur dan secara tidak langsung menjejaskan prestasi syarikat O&G.
“Kami berpandangan penyelesaian secara politik untuk mengatasi pertelingkahan ini adalah jalan yang lebih realistik, terutamanya dengan pilihan raya umum seterusnya yang semakin hampir,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.
Firma penyelidikan itu berkata, ketegangan yang berterusan dalam pertikaian hak petroleum antara Sarawak dan kerajaan Persekutuan dilihat bercanggah dengan usaha rundingan dan dialog yang telah dijalankan sebelum ini, yang bertujuan mencari penyelesaian secara baik dan konstruktif bagi menyelesaikan isu hak petroleum negeri itu.
“Ketidaktentuan ini akan terus memberi tekanan kepada pelabur, menyebabkan mereka menangguhkan projek atau menilai semula pelaburan mereka dalam sektor ini sehingga kepastian undang-undang diperoleh.
“Sebarang keuntungan komersial tambahan yang diperoleh Sarawak berpotensi menjejaskan PETRONAS, kerana pertikaian ini bersifat ‘zero-sum’ di mana keuntungan satu pihak membawa maksud berlaku kerugian di pihak lain,” katanya.
Kerajaan Sarawak memfailkan satu petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi menentukan kesahan dari segi perlembagaan serta pemakaian berterusan tiga undang-undang utama Persekutuan yang mengawal selia penerokaan, pengeluaran dan pengurusan sumber petroleum di Malaysia.
Tiga undang-undang yang dinamakan dalam petisyen itu ialah Akta Pembangunan Petroleum 1974 (PDA), Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966.
Dalam satu kenyataan oleh Pejabat Premier Sarawak, kerajaan negeri berkata undang-undang Persekutuan berkenaan telah mencabuli dan mengehadkan hak Sarawak terhadap sumber aslinya, khususnya minyak dan gas, yang terletak di dasar laut Pelantar Benua.
Hak kedaulatan terhadap sumber petroleum dalam sempadan Sarawak “telah terletak hak pada Hari Malaysia oleh kerajaan British, kepada Sarawak dan bukannya kepada Persekutuan atau kerajaan Persekutuan”, seperti yang diperuntukkan di bawah Perjanjian Malaysia 1963 serta instrumen lampirannya, menurut kerajaan negeri.
Pemfailan petisyen Sarawak menyusuli permohonan PETRONAS awal tahun ini bagi mendapatkan kepastian undang-undang mengenai rangka peraturan operasi mereka di negeri itu, bagi memastikan pelaburan dan operasi mematuhi undang-undang yang sah.
Sarawak menjadi tonggak utama sektor tenaga negara, menyumbang kira-kira 60 peratus simpanan gas Malaysia dan kira-kira 73 peratus jualan gas asli cecair (LNG) PETRONAS, menjadikannya lokasi kritikal bagi perancangan strategik dan komersial syarikat minyak nasional.
Penganalisis sebelum ini memberi amaran bahawa ketidaktentuan berpanjangan mengenai hak pembangunan dan komersial boleh menunda pelaksanaan projek baharu serta menjejaskan keterlihatan pendapatan syarikat huluan dan hiliran.
Sehingga sebarang penyelesaian dicapai, NewParadigm menasihatkan pelabur untuk berhati-hati dalam sektor ini dan memberi keutamaan kepada syarikat yang tidak terlalu terdedah kepada isu politik antara negeri dan Persekutuan. - DagangNews.com








