KUALA LUMPUR 14 Mac — Pertumbuhan pesat banyak pusat data (DC) di beberapa negeri pada ketika ini bukan sahaja meningkatkan permintaan kepada bekalan tenaga elektrik malah membantu menjana perkembangan syarikat-syarikat utiliti, kata RHB Research.
Firma penyelidikan itu percaya pertambahan DC jangka panjang adalah penting untuk perjalanan kepada fasa peralihan tenaga Malaysia, kerana permintaan untuk elektrik daripada fasiliti berkenaan amat diperlukan untuk menyokong operasi harian.
"Ini menyaksikan peningkatan berterusan dalam infrastruktur penghantaran dan pengedaran negara malah tinjauan kami kekal optimis, kerana sektor itu terutama tenaga boleh dibaharui (RE), ada potensi pertumbuhan yang begitu kukuh," katanya dalam satu nota kajian.
Bagaimanapun secara keseluruhan, RHB Research mengekalkan pendirian "overweight" dengan tumpuan utama mereka yang perlu diberi perhatian pelabur ialah kaunter saham Tenaga Nasional Berhad (TNB), YTL Power International Berhad dan Solarvest Holdings Berhad.
Permintaan elektrik kata firma penyelidikan itu, meningkat 6.2 peratus tahun-ke-tahun (y-o-y) pada FY24, sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan daripada segmen komersial dan domestik dan ada 18 projek DC disiapkan dengan jumlah kapasiti terkumpul sebanyak 1.9GW.
"Kami percaya pertumbuhan permintaan elektrik jangka pendek akan kekal kukuh, disokong oleh peningkatan penggunaan beban sebenar daripada projek DC yang telah siap dan pada FY24 kami lihat ada sedikit peningkatan dalam penggunaan beban sebenar suku-ke-suku (QoQ)," katanya.
RHB Research berkata, perkembangan positif tersebut berdasarkan data semasa yang merekodkan bekalan tenaga digunakan sebanyak 405MW setakat Disember 2024 berbanding rekod penggunaan elektrik hanya kira-kira 248MW pada September 2024.
TNB kata firma penyelidikan itu, melihat tiada kelembapan dalam kemajuan projek pembangunan DC walaupun ada kebimbangan isu sekatan eksport cip terkini dari Amerika Syarikat (AS), kerana sebahagian besar projek DC ini adalah berkaitan bukan kecerdasan buatan (AI).
"Syarikat utiliti itu berpandukan bahawa modal perbelanjaan luar jangka adalah pelaburan yang diperlukan untuk mengekalkan keselamatan bekalan serta memenuhi potensi pertumbuhan permintaan dalam menyokong keutamaan ekonomi tidak kira DC dan industri," katanya.
Kata RHB Research, ini memudahkan peralihan tenaga, termasuk peningkatan infrastruktur dan projek saling sambungan manakala mekanisme pemulihan masih belum dimuktamadkan tetapi sesuai untuk kadar pulangan kawal selia yang sama sebanyak 7.3 peratus.
Menyentuh mengenai pertumbuhan tenaga solar, landskapnya kekal teguh, dengan program solar berskala besar (LSS) dilancarkan secara bergantian, mungkin mewujudkan 6GW bersamaan RM18 bilion dalam kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentaulihan (EPCC).
"Keadaan tersebut akan memastikan buku pesanan kontraktor solar serta keterlihatan pendapatan yang kukuh dan menawarkan peluang untuk meningkatkan pendapatan berulang sekiranya mereka memperoleh sebarang aset," kata RHB Research. - DagangNews.com








