Pertama Digital tegaskan pemohonan lanjutan bukan langkah kebelakang tetapi penting untuk pemulihan menyeluruh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertama Digital tegaskan pemohonan lanjutan bukan langkah kebelakang tetapi penting untuk pemulihan menyeluruh

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 7 NovPertama Digital Bhd memberi jaminan pelan penstrukturan semula syarikat kini berada di peringkat akhir pelaksanaan dan menegaskan agar para pelabur kekal tenang serta yakin terhadap hala tuju kumpulan itu, susulan pengumuman penggantungan dagangan sahamnya oleh Bursa Malaysia Securities Bhd mulai 14 November 2025.

 


Ketua Pegawai Eksekutif Pertama Digital dalam kenyataannya hari ini berkata, permohonan lanjutan masa selama empat bulan sehingga 28 Februari 2026 yang dikemukakan kepada Bursa melalui penasihat utama, M&A Securities Sdn Bhd, adalah langkah penting untuk memastikan ketepatan, pematuhan serta kelengkapan dokumen bagi pelan penstrukturan semula kumpulan.

 


“Kami menghormati sepenuhnya proses pihak Bursa dan ingin menegaskan bahawa permohonan lanjutan ini bukan satu kemunduran, sebaliknya langkah strategik bagi memastikan pelan muktamad disediakan dengan penuh teliti dan menyeluruh,” katanya dalam kenyataan hari ini.

 


Beliau berkata, pelan tersebut kini berada di fasa akhir penyediaan, termasuk kerja usaha wajar, penilaian serta pengesahan terhadap dua pemerolehan utama, D-Ron Singapore Pte Ltd dan D-Ron Malaysia Sdn Bhd, yang menjadi tunjang utama strategi pemulihan kumpulan.

 


“Tempoh tambahan yang dimohon membolehkan kami menyiapkan proses audit kewangan rentas sempadan mengikut piawaian pelaporan Malaysia dan Singapura,” katanya lagi.

 


Menurutnya, perjanjian jual beli saham bersyarat bagi pemerolehan 80% ekuiti dalam kedua-dua syarikat D-Ron telah dimeterai dan dijangka memperkukuh keupayaan teras kumpulan, menambah aliran pendapatan berulang serta meningkatkan daya tahan operasi.

 


“Kedua-dua pemerolehan ini turut disertakan dengan jaminan keuntungan sebanyak RM32.4 juta bagi tahun kewangan 2025 dan 2026 dengan memberikan keyakinan terhadap prospek keuntungan jangka pendek dan nilai tambah kepada pemegang saham,” katanya.

 


Dalam pada itu, beliau turut menegaskan Pertama Digital kekal fokus mengukuhkan kedudukan kewangan, mempelbagaikan sumber pendapatan serta mempertingkat tadbir urus dan daya tahan operasi, meskipun pasaran berdepan cabaran jangka pendek.

 


Beliau menambah, laporan usaha wajar dan akaun pro-forma dijangka siap dalam suku keempat 2025, dengan penyerahan rasmi kepada pihak berkuasa sebelum akhir Februari 2026, selaras dengan garis masa dalam permohonan lanjutan.

 


“Walaupun penggantungan sementara dagangan mungkin menimbulkan kebimbangan, kami menyeru para pelabur untuk kekal yakin terhadap kemajuan kukuh yang telah dicapai serta nilai jangka panjang yang sedang dibina,” katanya.

 


Sementara itu, Pertama Digital turut memperkukuh portfolio penyelesaian digital dan pendapatan berulang menerusi beberapa inisiatif nasional utama termasuk e-Jamin yang dikendalikan anak syarikatnya Dapat Vista (M) Sdn Bhd di lebih 190 mahkamah seluruh negara, KOCEK Pintar di bawah sokongan Kementerian Pendidikan dan Yayasan Pintar yang bakal diperluas ke 10,000 sekolah, serta BizKecil bersama Agrobank dan GPPPKMM bagi memperkasa lebih 450,000 usahawan mikro.

 


Selain itu, kumpulan turut bekerjasama dengan CyberSecurity Malaysia, Netsec dan Picus Security dalam memperkukuh sistem keselamatan digital agensi kerajaan, sejajar dengan fokus pertumbuhan mampan dan transformasi digital sektor awam negara. - DagangNews.com