Perspective Strategies raih 4 anugerah PR Global Network 2025 di Kenya | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perspective Strategies raih 4 anugerah PR Global Network 2025 di Kenya

Andy See, Pengarah Urusan, dan Tan May Lee, Pengarah Eksekutif Perspective Strategies bersama satu daripada empat anugerah yang dimenangi pada Public Relations Global Network (PRGN) 2025 Best Practice Awards yang diadakan baru-baru ini di Nairobi, Kenya.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 12 Nov - Agensi komunikasi strategik Malaysia, Perspective Strategies Sdn Bhd, berjaya merangkul dua Anugerah Emas dan dua Anugerah Perak pada Public Relations Global Network (PRGN) 2025 Best Practice Awards yang diadakan baru-baru ini di Nairobi, Kenya.

 

Kemenangan tersebut dicapai menerusi empat kategori utama — masing-masing Emas bagi kategori Komunikasi kepada Generasi-Z dan Kempen Pempengaruh, serta Perak bagi kategori Kempen Advokasi dan Kesedaran Awam dan Pelancaran Produk atau Perkhidmatan.

 

Kejayaan ini mencerminkan kekuatan Perspective Strategies dalam komunikasi pemasaran pengguna, khususnya keupayaan agensi itu mengadaptasi penceritaan jenama merentas pelbagai platform digital, pempengaruh dan pengalaman fizikal (experiential).

 

Berteraskan pendekatan komunikasi 360 darjah, agensi ini menggabungkan strategi digital-first dan influencer-led dengan media tradisional berbayar dan capaian organik bagi menghasilkan kempen yang berimpak tinggi.

 

Selain pemasaran, Perspective Strategies turut menerajui inisiatif hal ehwal awam dan advokasi, dengan menggabungkan pandangan pakar serta penceritaan berasaskan manusia bagi meningkatkan kesedaran awam dan perubahan minda yang bermakna.

 

“Kami amat berbesar hati menerima pengiktirafan ini di pentas global. Ia menjadi bukti keupayaan kami melaksanakan rumusan komunikasi bersepadu yang menyatukan kreativiti, strategi dan penglibatan bermakna dengan pihak berkepentingan bagi menghasilkan impak sebenar,” kata Tan May Lee, Rakan Kongsi dan Pengarah Eksekutif Perspective Strategies.

 

Beliau berkata, kejayaan ini mencerminkan pengalaman luas pasukan serta kepercayaan pelanggan terhadap keupayaan agensi menghasilkan idea yang mampu merentas khalayak, saluran dan industri.

 

“Komunikasi berkesan berakar daripada pemahaman terhadap manusia — menyesuaikan mesej, nada dan platform untuk berhubung secara autentik dengan setiap khalayak. Kami berbangga mewakili Malaysia di platform antarabangsa, membuktikan bahawa kecemerlangan PR bertaraf dunia turut berkembang di tanah air sendiri,” katanya.

 

PRGN Best Practice Awards merupakan pertandingan tahunan yang mengiktiraf kempen komunikasi dan perhubungan awam terbaik dalam kalangan ahli Public Relations Global Network, satu daripada rangkaian PR bebas terbesar dunia.

 

Edisi 2025 di Nairobi menerima 160 penyertaan, jumlah kedua tertinggi dalam sejarah 14 tahun penganjurannya, merangkumi 24 kategori termasuk pengurusan krisis, komunikasi B2B, SEO dan kempen digital.

 

Pengiktirafan terbaharu ini mengukuhkan lagi kedudukan Perspective Strategies sebagai satu daripada agensi komunikasi bersepadu terkemuka di Malaysia, sekali gus menonjolkan kemampuan dan bakat profesional PR tempatan di persada antarabangsa. - DagangNews.com