Persidangan TVET ASEAN tonjol keperluan kemahiran digital, teknologi hijau dalam transformasi serantau | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persidangan TVET ASEAN tonjol keperluan kemahiran digital, teknologi hijau dalam transformasi serantau

AHMAD Zahid Hamidi (tengah) bersama-sama menekan butang sebagai gimik perasmian Persidangan TVET ASEAN 2025 di Kuala Lumpur hari ini. - Foto ihsan HRD Corp
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 13 Ogos — Persidangan TVET ASEAN menyerlahkan seruan agar rantau ini menyediakan tenaga kerja bagi menghadapi cabaran dan peluang pendigitalan dan peralihan teknologi hijau masa hadapan.

 

Acara tersebut yang dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi hari ini, serta membuka jalan bagi ekosistem pendidikan, latihan teknikal dan vokasional (TVET) lebih maju.

 

Ia merupakan platform utama di bawah Tahun Kemahiran ASEAN (AYOS) 2025, yang menghimpunkan kira-kira 1,500 penggubal dasar, peneraju industri, penyedia TVET dan pendidik bagi merangka agenda kemahiran.

 

"TVET ASEAN diisi pelbagai perbincangan peringkat tinggi dan kerjasama untuk memajukan TVET sebagai pemacu di seluruh ASEAN," kata Human Resource Development Corporation (HRD Corp) dalam kenyataan

 

Sebagai tambahan, acara itu juga menganjurkan pameran menampilkan 57 peserta, mengetengahkan inovasi tempatan, rumusan latihan dan teknologi yang menyokong pembangunan kemahiran digital dan hijau.

 

Program selama dua hari itu dianjurkan bersama HRD Corp dan Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran Malaysia (PTPK), yang kedua-dua agensi berkenaan di bawah Kementerian Sumber Manusia (Kesuma),

 

Dalam pada itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah serta Pengerusi Majlis TVET Kebangsaan (MTVET) berkata, beliau menetapkan visi agar ASEAN dapat bekerjasama secara kolektif.

 

"Rantau ini mampu membina tenaga kerja yang bersedia menghadapi cabaran masa depan. Kerjasama harus ditumpukan kepada menangani peningkatan dalam permintaan untuk bakat digital dan hijau," katanya.

 

Beliau berharap persidangan itu dapat memastikan agenda kemahiran rantau ini berpaksikan dalam hasil dunia sebenar serta menekankan bahawa TVET ASEAN mestilah lebih daripada satu platform perbincangan.

 

Justeru, Ahmad Zahid menyeru supaya program berkenaan dapat menyampaikan keputusan konkrit yang mampu dalam menangani keperluan sebenar pasaran semasa dan turut memacu perubahan lebih bermakna.

 

"Persidangan ini mesti mencetus dasar yang memenuhi keperluan pasaran, membuka peluang untuk semua, menjadikan majikan sebagai rakan kongsi sejati dan pembelajaran termaju yang pantas," kata beliau.

 

hrd
AHMAD Zahid Hamidi (depan tengah) bergambar dengan peserta selepas perasmian Persidangan TVET ASEAN 2025 di Kuala Lumpur hari ini. - Foto ihsan HRD Corp

 

Tambahnya, itulah cara ASEAN akan membentuk tenaga kerja yang inklusif, bersedia untuk masa hadapan dan dapat menerajui industri TVET global serta memupuk bakat diperlukan oleh rantau ini sendiri.

 

Daripada persidangan itu kata Ahmad Zahid, rantau ini boleh menubuhkan gerakan serantau baharu dikenali Pasukan Petugas Kemahiran Hijau dan Digital ASEAN yang menyatukan dalam tindakan konkrit.

 

Sementara itu, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim menekankan peluang ASEAN untuk memimpin dalam ekonomi digital dan hijau melalui kerjasama yang lebih mendalam dan pembangunan kemahiran inklusif.

 

"Dalam zaman AI boleh melakukan pemikiran, dunia masih memerlukan mereka yang membina, membaiki, mengendalikan, berkomunikasi, menyelia dan mengatur. Ini adalah elemen manusia dan sosial," katanya.

 

Kesemua itu memerlukan kemahiran, kecekapan dan kepercayaan manakala unsur-unsur ini akan mengatasi kitaran gembar-gembur teknologi yang menggambarkan latihan kemahiran adalah mata wang masa kini.

 

Sim menambah, untuk merealisasikan potensi ASEAN sepenuhnya, kita mesti bergerak ke arah sinergi lebih tinggi yang telah lama tertunggak dalam rangka kerja pensijilan bersama.

 

"Sekiranya kemahiran adalah mata wang Revolusi Perindustrian (IR) 4.0, maka untuk kemajuan lebih besar dalam pasaran kemahiran ASEAN, kita mesti kerja keras ke arah pengiktirafan bersama," katanya.

 

Menyertai persidangan itu secara maya, ialah Setiausaha Agung ASEAN, Dr Kao Kim Hourn, menekankan keperluan pembangunan kemahiran hijau bagi memastikan rantau ini kekal berdaya saing. - DagangNews.com