Persatuan Pengilang yakin Belanjawan 2026 suntik dana, akses global kepada PMKS Bumiputera | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Persatuan Pengilang yakin Belanjawan 2026 suntik dana, akses global kepada PMKS Bumiputera

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 Okt – Usahawan sektor perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Bumiputera bakal meraih banyak manfaat besar daripada Belanjawan 2026 yang dibentangkan baru-baru ini.


Ia disalur menerusi suntikan dana, peluang memperluas pasaran global serta peningkatan kapasiti perniagaan, menurut Persatuan Pengilang dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (Pengilang).


Presidennya, Datuk Dr. Azman Yusoff berkata, belanjawan kali ini memperlihatkan pendekatan secara menyeluruh, bukan sekadar menawarkan bantuan kewangan, malah meliputi pemerkasaan keupayaan.


“Peruntukan RM100 juta untuk Program Penskalaan Usahawan dan RM50 juta bagi menaik taraf premis perniagaan Majlis Amanah Rakyat (Mara) merupakan langkah strategik," katanya dalam kenyataan.


Perkembangan positif tersebut jelas beliau, diyakini mampu melonjakkan lagi imej serta daya saing PMKS Bumiputera untuk kekal dalam penerokaan secara luas pasaran tempatan dan antarabangsa. 


Azman turut bersyukur penyaluran RM500 juta pinjaman mudah menerusi EXIM Bank dan pelaksanaan Skim Eksport Lonjakan bernilai RM500 juta, membantu syarikat mengharungi cabaran perdagangan global.


Dalam masa sama, Pengilang tambahnya, menyifatkan Geran Pembangunan Pasaran sebanyak RM60 juta melalui Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sebagai pemangkin yang baik.


"Insentif ini membantu penyertaan usahawan Bumiputera dalam pameran perdagangan antarabangsa, misi dagangan dan penerokaan pasaran baharu seperti Afrika, Amerika Latin dan Asia Tengah," katanya.


Selain akses pasaran, Belanjawan 2026 juga kata Azman, memberi fokus besar kepada pembangunan bakat dan kemahiran usahawan menerusi peruntukan hampir RM3 bilion diagihkan melalui HRD Corp.


Beliau yakin pelbagai latihan dalam bidang teknologi dan tenaga boleh diperbaharui (RE), serta inisiatif GiatMARA yang menyasarkan lebih 13,000 peserta termasuk pekerja gig juga amat positif.


Sektor pelancongan turut menerima manfaat dengan peruntukan RM700 juta menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026, yang membuka peluang besar kepada usahawan Bumiputera dalam bidang pelancongan.


“Secara keseluruhan, Pengilang melihat Belanjawan 2026 sebagai berjiwa rakyat dan berpandangan jauh, dengan penekanan jelas terhadap daya tahan ekonomi dan pemerkasaan usahawan,” ujar Azman.


Pada masa sama, beliau menegaskan pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi kerajaan bagi memastikan pelaksanaan inisiatif berimpak tinggi itu dapat dimanfaatkan sepenuhnya. - DagangNews.com