KUALA LUMPUR 8 Mei – Persatuan Jualan Langsung Malaysia (DSAM) memperkenalkan Kod Etika edisi ke-4 sebagai usaha memperkukuh amalan industri jualan langsung yang kini semakin dipengaruhi oleh pertumbuhan pesat perdagangan digital dan sosial komersial.
Langkah itu bertujuan memastikan semua syarikat ahli terus beroperasi secara beretika, telus dan berorientasikan perlindungan pengguna dalam persekitaran pasaran yang semakin berubah.
Kod Etika tersebut pertama kali diperkenalkan pada tahun 1978 dan telah menjadi asas utama kepada standard tadbir urus industri jualan langsung di Malaysia selama lebih empat dekad.
Edisi baharu ini diselia oleh Pentadbir Kod Bebas DSAM, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang diberi tanggungjawab untuk memastikan pelaksanaan dan pematuhan kod berada pada tahap tertinggi.
Presiden DSAM, Zaihan Arifin dalam satu kenyataan berkata pengukuhan kod ini juga selari dengan piawaian global yang ditetapkan oleh Persekutuan Persatuan Jualan Langsung Sedunia (WFDSA) bagi memastikan industri tempatan kekal relevan di peringkat antarabangsa.
Selain itu, DSAM turut memegang status sebagai ahli Platinum WFDSA, yang mencerminkan pengiktirafan terhadap komitmen Malaysia dalam mengamalkan standard etika jualan langsung bertaraf dunia.
“Antara penambahbaikan utama dalam kod baharu ini termasuk definisi yang lebih jelas mengenai transaksi digital, khususnya yang melibatkan platform media sosial dan e-dagang.
“Kod ini juga memperkenalkan kriteria lebih terperinci bagi produk yang boleh dipasarkan, sekali gus mengurangkan risiko salah guna atau penjualan produk yang tidak mematuhi standard industri.
“Selain itu, DSAM turut memperkukuh mekanisme rayuan dan penguatkuasaan bagi memastikan tindakan lebih tegas dapat diambil terhadap mana-mana ahli yang melanggar peraturan,” katanya.

Tambahnya, perubahan ini penting memandangkan corak pembelian pengguna kini banyak beralih kepada platform digital dan sosial seperti TikTok, Facebook dan Instagram.
“DSAM juga sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan bagi memastikan ekosistem jualan langsung kekal beretika dan selamat untuk pengguna.
“Usaha ini turut melibatkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sebagai agensi utama yang mengawal selia aspek perdagangan dan perlindungan pengguna dalam industri berkenaan.
“Selain KPDN, DSAM turut bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (MOH) serta Kementerian Kewangan (MOF) bagi memastikan aspek kesihatan pengguna dan kestabilan ekonomi turut diberi perhatian dalam pembangunan industri,” katanya.
Kod baharu ini juga memberi penekanan terhadap ketelusan maklumat produk, amalan pemasaran yang bertanggungjawab serta peningkatan sokongan selepas jualan kepada pengguna.
Ia turut menetapkan garis panduan lebih ketat berhubung struktur komisen dan ganjaran kepada pengedar bagi mengelakkan sebarang elemen yang boleh menjejaskan keadilan dalam sistem jualan.
Sektor jualan langsung mencatatkan sumbangan sebanyak RM34.4 bilion kepada ekonomi Malaysia pada tahun 2024, dengan pertumbuhan tahunan sebanyak 7.4 peratus.
Menurut DSAM, Malaysia kini berada di kedudukan kelima dunia dalam industri jualan langsung, ketiga di rantau Asia Pasifik, serta mencatat kadar penembusan pasaran tertinggi di dunia pada 2.28 peratus.
DSAM ketika ini mewakili 165 syarikat ahli dengan lebih 4.3 juta pengedar bebas, menjadikannya antara organisasi industri terbesar di negara ini.
Dengan pelaksanaan Kod Etika edisi baharu ini, DSAM berharap industri jualan langsung akan terus berkembang secara mampan sambil mengekalkan integriti, kepercayaan pengguna dan daya saing di peringkat global. - DagangNews.com








