KUALA LUMPUR 9 Jun — Persaingan sengit secara berterusan dalam pasaran automotif tempatan tanpa ada sebarang tanda pemulihan yang jelas, diunjur mampu menjejaskan prestasi jualan keseluruhan Bermaz Auto Berhad, menurut RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, perkembangan negatif itu akan mempengaruhi sebahagian besar perolehan hasil kumpulan berkenaan walaupun diimbangi oleh perbelanjaan operasi lebih rendah disebabkan fokus model perniagaan kepada aset ringan.
Katanya, persaingan dalam pasaran kereta masih lagi sengit dan memberikan kesan besar kepada perniagaan kumpulan itu, terutamanya dalam segmen bukan nasional berdasarkan data bilangan industri keseluruhan (TIV) Persatuan Automotif Malaysia.
"Data Jabatan Pengangkutan Jalan menunjukkan trend yang sama, apabila pendaftaran kereta Mazda dipegang Bermaz Auto pada FY25 jatuh 39 peratus (YoY) dengan volum jualan pada FY25 susut kepada 11,400 unit," kata RHB Research dalam nota kajian.
Bilangan pendaftaran model berat jenama tersebut yang dipasang dalam negara (CKD) tambah firma berkenaan, turut menurun YoY, dengan pendaftaran CX-30, CX-5, dan CX-8 mencatatkan penyusutan masing-masing sebanyak 33 peratus, 31 peratus dan 50 peratus.
Sementara pendaftaran kereta KIA pada FY25 jatuh lebih besar sebanyak 47 peratus YoY didorong terutamanya oleh jualan lebih perlahan, yang menyaksikan penurunan 55 peratus, meskipun pelarasan subsidi diesel telah dilancarkan kerajaan pada Mei 2024.
Antara yang terjejas kata RHB Research, ialah penampilan sulung model KIA Sportage apabila menyaksikan jumlah pendaftaran bulanan hanya sebanyak 30 unit sebulan walaupun dijual dengan harga kompetitif antara RM147,000 hingga RM187,000 di pasaran.
"Kami percaya keadaan sebegini disebabkan sebahagian besarnya oleh kemunculan pelbagai tawaran dalam pasaran kenderaan utiliti sukan (SUV) segmen C seperti Chery Tiggo 7 Pro, Jaecoo J7, Proton X70 dan Honda CR-V," kata firma penyelidikan tersebut.
Segmen bukan nasional katanya, menghadapi persaingan sengit susulan kemasukan pembuat kereta China seperti Chery, BYD, dan Jaecoo dengan strategi biasa dalam kalangan pembuat kereta ini ialah harga murah, menyebabkan saingannya terpaksa mengikut sama.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, RHB Research menurunkan saranan kepada 'neutral' berbanding 'beli' dengan mengesyorkan pelabur mengekalkan kedudukan manakala harga sasaran juga dikurangkan kepada 95 sen daripada RM1.20. - DagangNews.com








