KUALA LUMPUR 29 Okt - Alpha IVF Group Berhad ketika ini berdepan dengan risiko persaingan yang amat tinggi dalam perkhidmatan kesuburan kehamilan di pasaran Malaysia, menurut TA Securities.
Kata firma penyelidikan tersebut, terdapat sekurang‑kurangnya 114 klinik lain menawarkan rawatan persenyawaan di luar tubuh atau IVF yang kebiasaannya di makmal untuk pasangan belum ada anak.
Tambahnya, walaupun berdepan tekanan ini, prestasi suku pertama (1QFY26) syarikat itu kekal mantap dengan keuntungan bersih RM15.3 juta, menyumbang 22.4% daripada unjuran tahunan firma berkenaan.
"Pendapatan Alpha IVF meningkat 21.2% tahun ke tahun (YoY) kepada sebanyak RM52.1 juta, disokong pertumbuhan di tiga pusat pakar IVF syarikat itu di Malaysia," kata TA Securities dalam notanya.
Selain itu, firma berkenaan merujuk peningkatan jumlah pesakit antarabangsa berikutan pelancongan kesihatan turut didorong oleh dua klinik satelit di Indonesia dan dua pejabat jualan di China.
Bagaimanapun jelasnya, cawangan di Singapura mencatatkan penurunan jualan kira-kira 48.5% YoY kepada RM3.9 juta berikutan isu peletakan jawatan oleh seorang doktor utama pada Oktober 2024.
Kadar cukai efektif juga kata TA Securities, naik 5.4 mata peratusan kepada 26.7%, mencerminkan perbezaan sementara daripada kerugian cukai belum digunakan di beberapa subsidiari yang baharu.
"Dari segi suku tahunan pula, keuntungan sebelum cukai (PBT) pada tempoh 1QFY26 menurun kira-kira 1.8% QoQ kepada sebanyak RM21.0 juta walaupun pendapatan didapati meningkat 4.2% QoQ," tambahnya.
Perkembangan tersebut jelas firma berkenaan, disebabkan faktor kos permulaan bagi pengembangan premis termasuk pengambilan kakitangan tambahan dan latihan doktor baharu di pusat yang sedia ada.
Prospek Alpha IVF kata TA Securities, tetap positif dengan struktur pertumbuhan perkhidmatan yang kukuh, disokong penurunan kualiti sperma global dan peningkatan aliran pesakit antarabangsa.
Trend perkahwinan lebih lewat yang memerlukan anak serta pelan perluasan ke Sabah pada November 2025 dan Johor (4QFY26) dijangka menambah capaian syarikat ke bandar-bandar berpermintaan tinggi.
"Kami menaikkan harga sasaran kepada 42 sen saham dengan saranan kekal 'beli' berikutan strategi pengembangan tempatan dan serantau dijangka menyokong pertumbuhan pendapatan syarikat," katanya.
Alpha IVF ditubuhkan sejak 2011 dengan beribu pejabat di Kota Damansara, Selangor turut merancang membuka cawangan di Filipina yang dikenal pasti ada potensi permintaan positif. - DagangNews.com








