KUALA LUMPUR 24 Nov – Mah Sing Group Berhad terus mengukuhkan portfolio di kawasan Setapak dengan pembelian baharu tanah pajakan seluas 1.1 hektar bagi pembangunan projek kediaman siri M.
Menurut MBSB Research, perjanjian jual beli (SPA) dengan The Rampai Development Sdn Bhd untuk tanah bernilai RM44.5 juta itu, dimeterai pada 21 November 2025 dan dijangka dimuktamadkan pada 1QFY26.
Firma penyelidikan tersebut menambah, pengambilalihan tanah berkenaan bakal menempatkan projek baharu yang dikenali sebagai M Mira dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM300 juta.
"Kami menilai langkah ini positif, memandangkan ia menjadi projek kelima Mah Sing di Setapak–Wangsa Maju selepas M Adora, M Astra, M Azura dan StarParc Point," katanya dalam nota kajian hari ini.
Selain itu jelas MBSB Research, kos tanah kepada GDV tersebut hanya sebanyak 14.8% dianggap sebagai menarik dan masih lagi konsisten dengan beberapa projek M Series yang sudah dibangunkan Mah Sing.
M Mira tambah firma berkenaan, dijangka ditawarkan pada harga mampu milik bermula RM499,000 yang menyasarkan pembeli rumah pertama, golongan profesional muda, keluarga dan pembeli naik taraf.
Dalam pengumuman yang berasingan katanya, kumpulan tersebut turut menamatkan perjanjian pembelian tanah yang berkeluasan 227.3 hektar di Sepang untuk pembangunan dikenali sebagai MSS Business Park.
"SPA yang sudah ditandatangani sejak Januari 2024 itu dibatalkan kerana isu keadaan tanah, manakala deposit dan faedah akan dipulangkan semula secara sepenuhnya kepada Mah Sing," jelas MBSB Research.
Walaupun pembatalan berkenaan dibuat, kumpulan pemaju hartanah itu tambah firma penyelidikan tersebut, akan terus mencari peluang baharu untuk memperluaskan segmen pembangunan perindustrian.
Pembelian tanah baharu ini katanya, akan dibiayai melalui gabungan dana dalaman dan pinjaman bank, dengan nisbah hutang bersih dijangka meningkat sedikit kepada 0.24 kali daripada 0.23 kali.
Berdasarkan perkembangan itu, MBSB Research mengekalkan penarafan 'beli' dengan harga sasaran RM1.52 sesaham, selepas mengambil kira sumbangan M Mira dan menyingkirkan isu MSS Business Park.
"Kami namun tidak mengubah unjuran FY25 hingga FY27 dan percaya pengembangan berterusan siri M menjadi pemacu utama jualan baharu serta prospek pendapatan Mah Sing," katanya. - DagangNews.com








