Perolehan IJM dianggar terjejas jika gagal raih kontrak baharu dalam tempoh terdekat - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perolehan IJM dianggar terjejas jika gagal raih kontrak baharu dalam tempoh terdekat - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 11 Ogos — IJM Corp Berhad perlu memastikan ia tidak gagal dalam meraih sebarang kontrak baharu dalam masa terdekat yang boleh menjejaskan perolehannya, menurut RHB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, masalah itu dikenal pastinya sebagai risiko utama kumpulan berkenaan namun pada ketika ini, permintaan tender dijangka masih lagi kukuh terutama di Lembah Klang.

 

Tambahnya, banyak projek baharu khususnya gudang di Shah Alam adalah kekal teguh dan syarikat itu sudah memperoleh kontrak pembinaan dua fasiliti berkenaan yang keseluruhan bernilai RM1.23 bilion.

 

"Kami menjangkakan permintaan gudang di situ kekal positif, kerana ia berada dalam jarak 40 minit pemanduan yang cukup dekat dari kawasan Pelabuhan Klang," kata RHB Research dalam nota kajiannya.

 

Kata firma berkenaan, lokasi itu juga dianggap amat strategik untuk memenuhi keperluan import dan eksport serta mengelakkan masalah kesesakan serius yang berlaku di kawasan pelabuhan tersebut.

 

Pembinaan dua gudang itu yang masing-masing diperoleh IJM Corp pada 2023 dan 2024, dalam tinjauan mereka sudah pun siap 80 peratus dan dijangka boleh digunakan pada tempoh separuh pertama 2026.

 

RHB Research meramalkan, kerja-kerja bangunan industri, tidak termasuk pusat data (DC), membentuk 28 peratus daripada buku tempahan tertunggak kumpulan itu sebanyak RM6.6 bilion pada Mac 2025

 

"Apa yang kami dapat lihat, kemajuan pembinaan dua projek ini cukup baik pada Julai 2025, dengan banyak kren digunakan menjadikan kawasan itu menjadi seperti 'Lembah Kren'," kata firma tersebut.

 

Ia turut mengekalkan anggaran pendapatan IJM Corp tetapi mengubah sasaran perolehan kepada 18.5 kali berbanding 15 kali sebelum ini untuk bahagian pembinaan dalam penilaian prosedur standard.

 

Selain itu, RHB Research percaya, sebarang perolehan kontrak DC yang besar dalam masa terdekat akan melonjakkan sahamnya kerana pada masa ini ia dinilai rendah dalam kalangan rakan setara.

 

Berdasarkan perkembangan itu, firma berkenaan meneruskan saranan 'beli' ke atas kumpulan tersebut dengan harga sasaran sesaham dinaikkan kepada RM3.73 sesaham. - DagangNews.com