KUALA LUMPUR 1 Dis – Perodua melakar sejarah apabila memasuki segmen kenderaan elektrik (EV) secara penuh dengan pelancaran Perodua QV-E 2026, model EV segmen-B yang ditawarkan pada harga RM80,000 seunit, tanpa insurans dan tidak termasuk bateri.
Model sulung EV nasional itu dibangunkan sepenuhnya di Malaysia dengan kos pembangunan mencecah RM800 juta, dan dihasilkan di fasiliti baharu Perodua, iaitu Kilang Mobiliti Pintar di Rawang, Selangor.
QV-E merupakan singkatan kepada ‘Quest for Visionary Electric Vehicle’, melambangkan aspirasi jangka panjang Perodua dalam mobiliti elektrik.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, kapasiti awal pengeluaran QV-E ditetapkan 500 unit sebulan, dengan sasaran peningkatan ketara kepada 3,000 unit sebulan menjelang suku ketiga 2026.
“QV-E adalah hasil rakyat Malaysia berganding bahu. Daripada reka bentuk hingga kejuruteraan, semua dilakukan bakat tempatan,” katanya menegaskan model itu dibangunkan melalui kolaborasi menyeluruh industri automotif negara.
Dari sudut teknologi, Perodua QV-E menggunakan bateri litium-besi-fosfat (LFP) berkapasiti 52.5kWh dengan jarak pemanduan sehingga 445km (mengikut ujian NEDC).
Teknologi LFP dipilih kerana memberikan kitar hayat bateri lebih panjang, kestabilan tinggi pada suhu panas serta kos penyelenggaraan lebih rendah, sejajar dengan matlamat menjadikan QV-E sebagai EV harian mampu milik.
Antara ciri keselamatan baharu yang diperkenalkan ialah sistem Pengesan Kehadiran Kanak-Kanak yang mampu mengesan pernafasan, pergerakan halus di tempat duduk baris kedua serta pergerakan di bawah fabrik atau selimut.
Sekiranya terdapat pergerakan selepas kenderaan dikunci, sistem akan menghantar notifikasi kepada pemandu.
Dari sudut rantaian bekalan, sebagai peneraju pembangunan EV di bawah Pelan Induk Industri Baharu (NIMP) 2030, Perodua menyasarkan kadar kandungan tempatan 50 peratus pada awal 2026 dan 70 peratus menjelang 2030.
Setakat ini, 52 syarikat tempatan membekalkan komponen untuk QV-E, dengan sasaran meningkat kepada 70 vendor dalam tempoh lima tahun.
QV-E 2026 ditawarkan dalam dua warna iaitu Ice Blue dan Caviar Grey, dan hanya dijual di pusat jualan Perodua terpilih.
Dalam usaha mengekang kos pemilikan, Perodua turut memperkenalkan skim Battery-as-a-Service (BaaS), iaitu perkhidmatan bateri berasaskan langganan.
Melalui pendekatan ini, harga kenderaan dapat direndahkan, pelanggan menikmati waranti bateri seumur hidup selagi melanggan servis, dan kebimbangan kos penggantian bateri dapat dikurangkan.
Menariknya, Perodua menyasarkan segmen M40 ke atas, pembeli kereta kedua atau kereta ganti yang memerlukan EV untuk kegunaan harian dan perjalanan hujung minggu.
Pembangunan QV-E berjaya diselesaikan dalam tempoh 28 bulan, hasil kerjasama rapat bersama Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) serta pelbagai agensi kerajaan.
Zainal Abidin berkata, sokongan kerajaan merupakan pemangkin utama kepada kebangkitan industri EV tempatan.
“Kerajaan memberi sokongan penting yang membolehkan kami menumpukan pada kualiti, kebolehpercayaan dan integrasi teknologi digital terkini,” katanya.
Dengan harga RM80,000, keupayaan pengeluaran sehingga 3,000 unit sebulan, rangkaian vendor tempatan yang berkembang serta sasaran 70 peratus kandungan tempatan menjelang 2030, Perodua QV-E 2026 dilihat berpotensi menjadi model EV tempatan paling signifikan setakat ini. - DagangNews.com








