Perniagaan kejuruteraan polimer Texchem dijangka pulih didorong peningkatan permintaan - RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perniagaan kejuruteraan polimer Texchem dijangka pulih didorong peningkatan permintaan - RHB Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 25 April — Texchem Resources Berhad dijangka menyaksikan pemulihan dalam perniagaan kejuruteraan polimer didorong peningkatan permintaan dalam sektor pemacu cakera keras (HDD) dan semikonduktor, kata RHB Research.


Firma penyelidikan itu berkata, ia juga berpotensi dalam menjana pertumbuhan daripada pelanggan terutama segmen perubatan dan sains hayat, serta sumbangan aktif daripada perniagaan margin tinggi yang baharu.


Ia menambah, kumpulan itu difahamkan tidak mempunyai pendedahan langsung kepada situasi di Amerika Syarikat (AS), dan tidak terjejas oleh tarif timbal balik manakala pengurusan melihat gangguan permintaan minimum pada tempoh semasa.


"Justeru, kami mengekalkan saranan "beli" dan sasaran harga RM1.58 sesaham berdasarkan keputusan kewangan 1QFY25 yang selaras dengan jangkaan apabila pendapatan teras naik 2.5 peratus kepada RM2.3 juta," katanya dalam nota kajian. 


RHB Reserch berkata, perkembangan itu susulan tumpuan utama kepada bahan kimia pukal dalam segmen perindustrian terus membuahkan hasil positif sehingga membawa kepada keuntungan jualan dan bahagian pasarannya yang lebih tinggi.


Perniagaan makanan Texchem katanya, mempelbagaikan rantaian bekalan ke Thailand pada FY24 untuk mengurangkan kesan langkah kawalan mata wang asing, dan pengurusan kekal berharap sekatan selanjutnya dapat dilonggarkan.


Sementara itu, perniagaan restoran kumpulan tersebut dijangka mendapat manfaat musim lebih baik pada masa depan, dengan rancangan untuk menambah baik menu serta berkembang ke kawasan pinggir bandar yang lebih menguntungkan.


"Selain itu, penutupan cawangan yang kurang berprestasi dan langkah untuk mengoptimumkan kecekapan operasi premis dikendalikan beberapa anak syarikatnya dijangka mampu membantu pendapatan keseluruhan kumpulan," kata RHB Research.


Firma penyelidikan itu berkata, pembayaran dividen harus bermula semula pada pusingan pendapatan selepas FY25 melibatkan sebanyak RM102.2 juta untuk 28 peratus kepentingan dalam Sushi King yang diperoleh pada 2022. - DagangNews.com