KUALA LUMPUR 28 Ogos – Farm Fresh Berhad memulakan tahun kewangan 2026 (1QFY26) dengan prestasi kukuh, apabila mencatatkan keuntungan bersih RM33.5 juta, meningkat 30% tahun ke tahun (YoY).
Penganalisis berkata, lonjakan itu didorong oleh pertumbuhan jualan produk baharu yang bernilai tinggi, kawalan kos bahan mentah, serta permintaan secara berterusan dari sektor pengguna domestik.
Menurut TA Securities, keuntungan tersebut adalah kira-kira 22% daripada anggaran setahun firma penyelidikan itu dan 25% daripada jangkaan konsensus, serta selari dengan prestasi yang dijangka.
"Pendapatan kumpulan meningkat 7.8% YoY kepada RM260.6 juta, dipacu oleh pelancaran produk baharu seperti susu kanak-kanak, susu tepung penuh krim, aiskrim dan mentega," katanya dalam nota kajian.
Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) menyifatkan prestasi Farm Fresh kali ini juga menandakan permulaan kukuh kepada FY26, disokong oleh permintaan stabil terhadap produk susu cair.
Kata firma berkenaan, ia meliputi sumbangan tambahan daripada usaha pengembangan kumpulan itu ke pasaran serantau, termasuk Filipina dan Kemboja yang dikenal pasti berpotensi dalam jangka panjang.
Tambahnya lagi, situasi pengembangan margin keuntungan kasar kira-kira tiga mata peratusan kepada sebanyak 33.2% serta pengurangan kos faedah menyokong lonjakan keuntungan kumpulan berkenaan.
"Jualan di Malaysia meningkat 19% YoY, namun sebahagian impak positif diimbangi penurunan jualan Australia sebanyak 51% YoY, susulan prestasi lemah di Goulburn Valley Creamery," kata Maybank IB.
Bagaimanapun, jualan eksport ke rantau Timur Tengah dan Asia Tenggara pula semakin rancak, manakala dari segi tempoh sukuan pula, kedua-dua firma melaporkan pertumbuhan pendapatan QoQ sekitar 7%.
Keadaan positif tersebut menurut mereka, disumbang oleh jualan khas menerusi program susu sekolah, permintaan kukuh terhadap produk aiskrim, serta pertumbuhan jualan Australia sebanyak 21% QoQ.
Berdasarkan perkembangan semasa itu, TA Securities dan Maybank IB masih lagi mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham Farm Fresh, masing-masing dengan harga sasaran sesaham RM2.25 dan RM2.10.
Kedua-dua firma penyelidikan berkenaan turut mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan tersebut, dengan Maybank IB masih menjangkakan pertumbuhan keuntungan pada FY26 sebanyak 23% YoY.
Antara pemacu pertumbuhan yang dikenal pasti termasuk hab pengeluaran baharu di Bandar Enstek, Negeri Sembilan yang dijangka siap awal 2026 untuk mempertingkat kapasiti aiskrim keluarannya.
Pengembangan pasaran di Filipina, menerusi saluran peruncitan moden serta eksport ke Kemboja yang telah bermula, juga dijangka mampu membuka potensi perluasan pasaran Farm Fresh di rantau ASEAN.
“Permintaan daripada sektor pelancongan dan program susu sekolah akan terus memacu pertumbuhan volum jualan dalam suku akan datang,” ujar TA Securities. - DagangNews.com








