Permintaan tinggi elektrik didorong pusat data, MBSB Research kekal saranan 'beli' saham TNB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan tinggi elektrik didorong pusat data, MBSB Research kekal saranan 'beli' saham TNB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 3 Sept – Permintaan tenaga elektrik negara dijangka terus kukuh sepanjang tahun ini, didorong terutamanya oleh faktor pertumbuhan pesat pusat data (DC), menurut MBSB Research.


Berdasarkan perkembangan positif itu, firma tersebut masih mengekalkan saranan 'beli' ke atas saham Tenaga Nasional Berhad (TNB) dengan harga sasaran tidak berubah sebanyak RM16.40 sesaham.


Ia menjangkakan permintaan elektrik akan berkembang antara 2.8% hingga 3.8% pada 2025, disokong oleh lonjakan penggunaan tenaga komersial, termasuk sektor perkhidmatan, runcit dan pusat data.


“TNB mencatat rekod baharu permintaan puncak 21.05GW pada 28 Mei 2025, menandakan anjakan trend penggunaan kepada waktu malam berbanding siang sebelum ini,” kata MBSB Research dalam notanya.


Sepanjang 1HFY25, penggunaan tenaga meningkat kepada 65,277GWh, naik 0.4% tahun ke tahun (YoY), dengan sektor komersial melonjak 6.5% YoY kepada 24,277GWh, dipacu pertumbuhan ekonomi digital.


DC menjadi pemacu utama pertumbuhan tenaga negara dengan penggunaan beban melonjak tiga kali ganda kepada 603MW pada Jun 2025, dan jumlah penggunaan tenaga mencecah 1,852GWh setakat 1HFY25.


Di bawah inisiatif Green Lane Pathway, TNB telah pun menyelesaikan tiga projek baharu pada suku kedua 2025, menambah kapasiti 740MW dan menjadikan jumlah kapasiti kini 3.5GW melibatkan 24 projek.


"Setakat ini 47 projek dimeterai di bawah Perjanjian Pembekalan Tenaga (ESA), melibatkan kapasiti 6.7GW, mengukuhkan lagi peranan TNB sebagai penyedia utama untuk DC berskala besar," katanya.


MBSB Research menambah, TNB juga telah membelanjakan RM5.2 bilion daripada perbelanjaan modal (capex) yang terkawal setakat separuh pertama 2025, dengan melaksanakan beberapa projek utama.


Antaranya kata firma tersebut ialah 500kV talian atas dari Bentong South ke Lenggeng sejauh 99 kilometer (km), yang telah berjaya mencapai tarikh operasi komersial (COD) pada Ogos 2025.


Ia turut memberi contoh projek pemasangan meter pintar yang ketika ini sudah mencapai kemajuan 38% dengan 136,890 unit telah dipasang setakat ini daripada sasaran FY25 iaitu 360,000 unit.


"Sementara automasi pengagihan tenaga telah mencapai 41% daripada 4,026 pencawang sasaran dan TNB juga kekal komited melabur sehingga RM12 bilion capex terkawal pada 2025," kata MBSB Research.


Usaha itu termasuk projek grid dan pendigitalan, manakala TNB turut mendedahkan telah menghantar bidaan bagi enam loji janakuasa gas sedia ada di bawah Kategori 1 untuk pelanjutan konsesi.


Selain itu, firma penyelidikan berkenaan berkata, syarikat utiliti itu pada masa sama dijangka menyertai bidaan projek baharu di bawah Kategori 2 bagi pembangunan loji janakuasa gas baharu.


Dengan saham kini diniagakan bawah purata lima tahun dan hasil dividen yang menarik sekitar 3.9%, MBSB Research kekal optimis terhadap prospek TNB dalam jangka sederhana. - DagangNews.com