Permintaan tinggi biodiesel diyakini rangsang sektor perladangan pada 2026 – CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan tinggi biodiesel diyakini rangsang sektor perladangan pada 2026 – CGS International

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 15 DisSektor perladangan dijangka kekal menarik pada tahun depan, dipacu oleh permintaan biodiesel yang semakin meningkat, terutama dari Indonesia, menurut CGS International.


Firma penyelidikan tersebut berkata, potensi itu dirangsang pelaksanaan inisiatif B50 biodiesel di negara berkenaan mulai Jun 2026, bagi mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan diesel fosil.


Langkah berkenaan jelasnya, dijangka meningkatkan pengeluaran biodiesel di Indonesia sebanyak 11% kepada 17.3 juta kiloliter, yang merangkumi kira-kira 18% daripada penggunaan minyak sawit global.


"Menurut data terkini Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), inventori stok negara ini naik kepada 2.84 juta tan pada November 2025, melonjak 13% bulan ke bulan (MoM)," jelas CGSI dalam notanya.


Angka tersebut kata firma itu, adalah bersamaan dengan peningkatan 54% tahun ke tahun (YoY), rekod paling tinggi sejak Mac 2019 dan melebihi jangkaan konsensus Bloomberg sebanyak 2.71 juta tan. 


Lonjakan inventori ini tambahnya, disebabkan oleh faktor eksport sawit yang merosot 28% MOM, terutamanya akibat permintaan India yang lebih rendah dan persaingan harga rendah dari Indonesia.


Bagi Disember 2025 dan 2026, CGSI menjangkakan pengeluaran sawit Malaysia akan menyusut sedikit kira-kira 1% YoY disebabkan kawasan tanaman yang mengecil dan kitaran hasil biologi sederhana.


"Sebaliknya, Indonesia dijangka naik 1% YoY selepas pulih daripada impak fenomena cuaca El Niño, walaupun banyak ladang syarikat Malaysia di sana mungkin berdepan isu gangguan operasi," katanya.


Keadaan itu tambah firma penyelidikan tersebut, akibat siri perampasan tanah oleh pihak berkuasa republik berkenaan, yang dijangka memberi kesan amat besar pada tempoh separuh kedua tahun depan.


CGSI mengekalkan saranan 'overweight' untuk sektor perladangan, dengan keutamaan kepada pemain segmen huluan, termasuk Hap Seng Plantations Holdings, Ta Ann Holdings dan SD Guthrie Berhad.


Justeru, firma itu menjangkakan harga purata minyak sawit mentah (MSM) 2026 sekitar RM4,500 setiap tan disokong oleh dasar biofuel di Amerika Syarikat (AS), serta mandat biodiesel B50 Indonesia.


Bagaimanapun, ia turut memberi amaran risiko, termasuk isu ketegangan geopolitik atau perubahan dasar yang boleh menjejaskan bekalan MSM global. - DagangNews.com