KUALA LUMPUR 2 Sept – Walaupun permintaan global sarung tangan kembali menghampiri paras tertinggi semasa pandemik Covid-19, Hartalega Holdings Berhad menjangkakan prestasi pendapatan bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026) hanya akan mencatat pertumbuhan mendatar atau sedikit meningkat.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Kuan Mun Leong berkata, perkembangan tersebut susulan lebihan bekalan pasaran dan harga jualan purata (ASP) yang masih lagi tertekan.
Selain itu, permintaan dunia dijangka mencecah 370 bilion unit pada 2025, hampir menyamai paras kemuncak 380 bilion unit pada 2021, namun lebihan kapasiti dan persaingan daripada pengeluar China masih membayangi industri.
“Lebihan bekalan ini dijangka berterusan untuk tempoh satu hingga dua tahun lagi, akibat kapasiti tambahan yang dibina semasa pandemik dan kemasukan pengeluar baharu dari China ke Asia Tenggara,” jelasnya.
Dalam senario mencabar ini, pengeluar Malaysia seperti Hartalega mendapat sedikit kelebihan di pasaran Amerika Syarikat (AS) susulan pengenaan tarif 80% ke atas sarung tangan dari China, berbanding 19% ke atas eksport Malaysia.
Ini telah membantu Hartalega meningkatkan penguasaan pasaran kepada 13% di AS, dengan jualan ke negara itu menyumbang 53% daripada jumlah jualan kumpulan bagi suku pertama FY26, meningkat dari 50% suku sebelumnya.
Namun, Mun Leong turut memberi amaran bahawa saingan tetap sengit apabila pengeluar China mula menubuhkan kilang di Indonesia dan Vietnam untuk mengelak tarif tinggi AS, sekali gus mengekang dominasi Malaysia dalam jangka masa panjang.
Dalam menghadapi tekanan pasaran, Hartalega kata beliau, turut melabur semula untuk penambahbaikan teknologi automasi, mempercepat pengoptimuman kos dan meningkatkan kecekapan operasi kilang.
“Selama empat bulan kebelakangan ini, kami telah menyemak semula amalan operasi dan berjaya mengurangkan tenaga kerja sehingga 15%, hasil peningkatan produktiviti,” ujar beliau.
Untuk suku pertama FY26 yang berakhir pada 30 Jun 2025, keuntungan bersih Hartalega menyusut lebih separuh kepada RM12.61 juta, berbanding RM31.93 juta sebelumnya, dipengaruhi harga jualan dan volum lebih rendah serta penurunan hasil eksport.
Perolehan pula menurun kira-kira 5% YoY kepada sebanyak RM553.1 juta, menurut kumpulan tersebut dalam makluman kepada Bursa Malaysia.
Justeru, dengan strategi jangka panjang berasaskan automasi, pengurangan kos, dan tumpuan pasaran eksport strategik seperti AS, Hartalega kekal berada di landasan pemulihan meskipun cabaran struktur industri sarung tangan masih belum reda.
“Kami perlu menjadi lebih cekap dan tangkas untuk kekal berdaya saing dalam persekitaran ASP yang kekal lemah,” simpul Mun Leong. - DagangNews.com








