KUALA LUMPUR 8 Ogos — Sektor perkayuan dibimbangi kekal dalam keadaan lemah pada baki enam bulan terakhir 2025 ekoran permintaan rendah di pasaran luar, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia masih berpendirian 'neutral' berdasarkan keadaan sektor ini dijangka kekal sukar pada tempoh itu berikutan tekanan margin dan turun naik mata wang asing.
Tambahnya, industri perkayuan terus bergelut dengan pasaran global, inflasi kos dan dolar Amerika Syarikat AS yang lemah, sehingga telah menjejaskan pendapatan peserta berorientasikan eksport.
"Kami difahamkan eksport kayu Malaysia menurun 5.3 peratus tahun ke tahun (y-o-y) disebabkan lambakan oleh China dan permintaan lemah pasaran antarabangsa," kata HLIB dalam nota kajiannya.
Katanya, untuk baki 2H25, persekitaran operasi dijangka kekal sukar, dengan tekanan dolar AS, risiko tarif dan peningkatan kos elektrik, walaupun boleh diimbangi oleh harga resin yang rendah.
Indeks dolar AS sendiri tambah firma itu jatuh 11 peratus pada 1H25, permulaan terburuknya sejak 1973 dengan syarikat seperti Evergreen Fibreboard Berhad dan Heveaboard Berhad, sangat terdedah.
HLIB menjangkakan purata ringgit iaitu RM4.35 berbanding dolar AS untuk tahun ini dan pengurangan kadar nilai AS yang selanjutnya boleh menimbulkan risiko kepada pemain sektor perkayuan Malaysia.
"Situasi diburukkan lagi apabila purata tarif elektrik asas di Semenanjung Malaysia dinaikkan sebanyak 13.6 peratus kepada 45.4 sen setiap kilowatt jam, berkuat kuasa 1 Julai 2025," katanya.
Mekanisme pelarasan bahan api automatik yang dilaksanakan katanya, namun dijangka menghasilkan semakan tarif bulanan terikat dengan harga bahan api global dan pergerakan pertukaran asing.
Walaupun impak penuhnya masih belum jelas, HLIB meramalkan sebaik sahaja bil Julai yang pertama diterima, pada masa itu syarikat juga harus mempunyai rancangan penggunaan elektrik lebih baik.
Tekanan kos input itu bagaimanapun diimbangi harga minyak mentah Brent purata lebih rendah RM71 setong, dengan firma tersebut meramalkan ia boleh berlegar lebih stabil sepanjang tahun ini.
"Keadaan disokong oleh penurunan dalam konflik geopolitik di rantau Timur Tengah, peningkatan pengeluaran oleh Pertubuhan Negara Pengeksport Petroleum, dan kelembapan permintaan," katanya.
Sementara itu, HLIB menganggap tarif AS yang dikaji semula ke atas produk Malaysia sebanyak 19 peratus berbanding sebelum ini dirancang 25 peratus, adalah lebih stabil dan berdaya saing.
Persekitaran duti import negara itu yang lebih baik boleh menyokong pemulihan dalam tempahan tidak langsung dikaitkan dengan pasaran AS tetapi firma tersebut masih berpandangan berhati-hati.
Evergreen kekal sebagai saham pilihan HLIB kerana kehadirannya yang kukuh di Timur Tengah dan operasi kepelbagaian geografi dengan harga sasaran kekal sebanyak 36 sen. - DagangNews.com








