KUALA LUMPUR 20 Nov — Permintaan yang semakin lemah bagi produk kesihatan dan kesejahteraan pada suku ketiga 2025 terus menekan prestasi Amway (Malaysia) Holdings Berhad, menurut TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut menambah, syarikat itu namun melaporkan keputusan 3QFY25 yang mengatasi jangkaan pasaran, didorong oleh margin pendapatan sebelum faedah dan cukai (EBIT) lebih kukuh.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'jual' sambil menyemak harga sasaran kepada RM5.03 daripada RM5.00, dengan nada amaran bahawa tekanan struktur industri masih mengekang prospek pemulihan syarikat.
"Kami menilai pengumuman Amway mengenai keuntungan teras 9MFY25 sebanyak RM30.5 juta, bersamaan 97% daripada jangkaan, dengan prestasi suku ketiga masih stabil," kata TA Securities dalam notanya.
Secara suku tahunan (QoQ), keuntungan terasnya melonjak hampir lima kali ganda kepada RM14.7 juta, dipacu pelancaran produk baharu, pelarasan harga pada Julai 2025, dan kadar cukai efektif rendah.
Bagaimanapun jelas firma itu, sekiranya dinilai secara tahunan (YoY), keuntungan teras pada 3QFY25 sebenarnya merosot 55.1% YoY, manakala pendapatan 9MFY25 pula turun 8.9% YoY kepada RM836.5 juta.
TA Securities menerangkan bahawa kemerosotan itu berpunca daripada permintaan pengguna perlahan, kos produk meningkat, serta peruntukan insentif usahawan wakil jualan (ABO) Amway yang lebih tinggi.
"Kumpulan berkenaan namun turut mengisytiharkan pengagihan dividen interim satu peringkat sebanyak 5 sen sesaham kepada pemegang saham, selari dengan kadar pada tahun sebelumnya," tambah firma itu.
Susulan keputusan yang lebih baik daripada jangkaannya dalam tempoh 3QFY25, ia menaikkan unjuran keuntungan pada FY25, FY26 dan FY27 kepada masing-masing RM39.0 juta, RM43.3 juta dan RM47.1 juta.
Peningkatan tersebut kata TA Securities, adalah seiring andaian margin EBIT lebih tinggi, tetapi firma penyelidikan berkenaan masih lagi kekal berhati-hati terhadap prospek jangka pendek Amway sendiri.
Ia menambah, dengan menghampiri tempoh 4QFY25, permintaan dijangka meningkat sementara berikutan kenaikan harga sebanyak 6.4% pada Januari 2026, namun landskap pasaran kini adalah kekal mencabar.
"Saingan daripada pemain baharu dan trend pengguna berbelanja pada barang keperluan akan mengekang jualan, serta pelarasan tahunan insentif ABO pada suku terakhir juga menekan keuntungan," katanya.
Sehubungan itu, TA Securities mengekalkan saranan, dan menegaskan bahawa cabaran permintaan dan tekanan struktural industri masih membayangi pemulihan jangka sederhana. - DagangNews.com








