KUALA LUMPUR 5 Dis – Magni-Tech Industries Berhad mencatat prestasi lebih lemah bagi suku kedua tahun kewangan 2026, apabila untung bersih merosot 15.2% tahun ke tahun (YoY) kepada RM32.1 juta.
Menurut Public Investment Bank, penyusutan berkenaan dipengaruhi oleh faktor jualan yang amat rendah dalam segmen pakaian dan pembungkusan, sehingga menjejaskan prestasi pada tempoh 1HFY26.
Firma penyelidikan itu menambah, keuntungan bersih teras pada masa tersebut berjumlah RM70 juta, jatuh 8.3% YoY namun masih sedikit melebihi jangkaan iaitu 56% daripada unjuran setahun penuh.
"Kami menaikkan unjuran FY26 hingga FY28 sekitar 3% secara purata, ekoran semakan ke atas andaian jualan pakaian, tetapi pendirian berhati-hati dikekalkan," jelasnya dalam nota kajian hari ini.
Situasi berkenaan tambah PublicInvest, memandangkan permintaan terhadap pakaian sukan global terus mencatatkan kelembapan akibat tekanan kos sara hidup mengakibatkan pengguna kurang berbelanja.
Justeru, ia masih lagi mengekalkan saranan 'neutral' dengan nilai harga sasaran baharu iaitu RM2.33 sesaham yang berdasarkan kaedah model diskaun dividen (DDM) kumpulan berkenaan sendiri.
Syarikat berkenaan jelas firma penyelidikan itu, turut mengumumkan dividen interim kedua 3 sen, menjadikan jumlah dividen tahun setakat ini (YTD) kepada 6.5 sen dengan kadar pembayaran 40.3%.
Artikel berkaitan: Untung bersih Magni-Tech meningkat 24% kepada RM32.25 juta pada 2QFY26
"Secara keseluruhan, hasil 2QFY26 susut 1.1% YoY kepada RM347 juta, dengan segmen pakaian jatuh 0.7% YoY manakala segmen pembungkusan lebih teruk apabila merosot 6.5% YoY," kata PublicInvest.
Penyusutan berkenaan dikaitkan dengan perbelanjaan pengguna yang sederhana berikutan peningkatan kos sara hidup, namun segmen pakaian mencatat lonjakan keuntungan sebelum cukai (PBT) 23.2% YoY.
Perkembangan positif itu jelas firma berkenaan, disokong oleh keuntungan bersih pertukaran mata wang asing sebanyak RM5.9 juta, berbanding kerugian kira-kira RM5.9 juta dicatatkan setahun lalu.
PublicInvest menjangkakan keputusan 3QFY26 lebih baik, selaras dengan corak bermusim apabila permintaan untuk produk 'outerwear' dan 'sportswear' meningkat semasa musim luruh dan sejuk.
"Magni-Tech juga berpotensi mendapat manfaat daripada pemindahan semula aliran eksport China ke Vietnam, tetapi saingan kekal sengit kerana eksport Vietnam ke AS dikenakan tarif 20%," katanya.
Keadaan itu dikhuatiri boleh menjejaskan daya saing syarikat, selain margin keuntungan dijangka tertekan susulan kenaikan gaji minimum di Vietnam sebanyak purata 7% pada 2026. - DagangNews.com








