KUALA LUMPUR 8 Ogos — Lotte Chemical Titan Holding Berhad dikhuatiri merekodkan penyusutan hasil pada separuh kedua tahun ini disebabkan permintaan lemah ke atas produknya, kata TA Securities.
Firma penyelidikan tersebut berkata, kemerosotan pendapatan kumpulan berkenaan dapat dilihat agak ketara setelah kadar penggunaan bahan kimia yang diprosesnya kurang 50 peratus bagi suku semasa.
Melangkah ke hadapan tambahnya, pengurusan syarikat memberikan gambaran kadar penggunaan tahun penuh 2025 kira-kira 45 peratus, mencerminkan permintaan terhadap produknya yang lebih lemah.
"Berdasarkan perkembangan yang perlahan itu, kami menjangkakan penurunan keseluruhan hasil Lotte Chemical Titan pada baki tempoh enam bulan terakhir tahun ini," kata TA Securities dalam notanya.
Terdahulu, kumpulan itu mencatatkan kerugian bersih sebanyak RM292.5 juta pada 1HFY25, namun ia lebih baik berbanding ramalan kerugian bersih setahun penuh firma berkenaan iaitu RM898.1 juta.
Situasi yang boleh disifatkan sebagai positif itu sebahagian besarnya didorong oleh penyebaran pelbagai produk keluaran syarikat tersebut dengan lebih baik daripada jangkaan awal sebelumnya.
Mengulas lanjut, TA Securities berkata, harga purata polimer untuk 2QFY25 berada pada AS$989 tan (RM4,194) iaitu jatuh 7.4 peratus tahun ke tahun, mencerminkan tekanan harga yang berterusan.
"Walaupun kos bahan suapan yang lebih rendah dan kadar operasi dikurangkan mungkin menawarkan sedikit kelegaan margin, kami percaya Lotte Chemical Titan masih tetap berisiko," tambahnya.
Kumpulan tersebut berkemungkinan kekal berwaspada pada suku tahun akan datang, kerana sebaran produk menunjukkan sedikit tanda pemulihan yang bermakna untuk menampung kos tetap dan operasi.
Susulan perkembangan semasa itu, TA Securities menyemak unjuran pendapatan FY25, FY26 dan FY27 masing-masing kepada kerugian sebanyak RM603.0 juta, RM335.0 juta dan RM39.7 juta.
Sehubungan itu, firma berkenaan masih lagi mengekalkan saranan 'beli' ke atas kumpulan tersebut tetapi harga sasaran sesaham dinaikkan kepada 49 sen berbanding 41 sen. - DagangNews.com








