Permintaan kukuh semikonduktor dorong Northeast catat untung bersih naik 70% pada 9MFY25 – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan kukuh semikonduktor dorong Northeast catat untung bersih naik 70% pada 9MFY25 – Maybank IB

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Ogos – Northeast Group Berhad mengekalkan momentum pertumbuhan kukuh apabila mencatatkan keuntungan bersih teras 9MFY25 yang melonjak 70% tahun ke tahun kepada RM15 juta.


Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, ia melebihi jangkaan pasaran, didorong permintaan kukuh dalam segmen semikonduktor serta manfaat kecekapan operasi dan kadar cukai lebih rendah.


Menurutnya, prestasi itu mewakili 83% daripada unjuran setahun penuhnya dan 93% daripada jangkaan konsensus, menunjukkan Northeast berada kukuh bagi menutup tahun fiskal dengan prestasi cemerlang.


"Bagi suku ketiga FY25, Northeast mencatatkan peningkatan pendapatan sebanyak 15% suku ke suku (QoQ) kepada RM32 juta, manakala keuntungan bersih pula melonjak 41% kepada RM7 juta," tambahnya.


Situasi itu kata firma penyelidikan tersebut, disokong oleh kadar cukai efektif rendah pada 10% serta gabungan produk yang lebih menguntungkan, dengan segmen fotonik memainkan peranan utama.


Selain itu, Maybank IB dalam notanya menambah, margin kumpulan tersebut juga meningkat sebanyak 2.3 mata peratusan kepada 22.8%, manakala margin keuntungan bersih teras pula melonjak kepada 23.1%.


Ia turut menyemak naik unjuran keuntungan Northeast pada FY25 sebanyak 5% selepas melaraskan kadar cukai efektif kepada 20% daripada 24%, namun masih lagi mengekalkan unjuran FY26 sehingga FY27.


Firma itu juga mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 75 sen, berdasarkan 20 kali ganda pendapatan sesaham pada 2026, iaitu pada -2 sisihan piawai di bawah purata lima tahun sektor.


“Kami turut berasa positif terhadap prospek jangka panjang Northeast kerana ia terdedah kepada sektor-sektor yang berimpak tinggi seperti fotonik dan semikonduktor," kata Maybank IB lagi.

 

Syarikat itu mengkhusus dalam pembuatan komponen kejuruteraan berketepatan tinggi yang digunakan dalam industri elektrik dan elektronik, optoelektronik, fotonik, semikonduktor, dan telekomunikasi.

 

Pengeluar komponen mekanikal itu juga kata firma tersebut, menunjukkan trend pertumbuhan tempahan secara konsisten daripada kebanyakan pelanggan utamanya. - DagangNews.com