Permintaan kukuh model iPhone 17 bawa prospek cerah Inari Amertron pulih pada FY26 – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan kukuh model iPhone 17 bawa prospek cerah Inari Amertron pulih pada FY26 – PublicInvest

Foto ihsan Apple
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 22 Sept – Permintaan yang luar biasa terhadap iPhone 17, dijangka menjadi pemacu utama kepada usaha pemulihan prestasi Inari Amertron Berhad bagi tahun kewangan 2026 (FY26). 

 

Menurut Public Investment Bank Bhd (PublicInvest), telefon pintar terbaharu berkenaan mencatat tempoh pratempahan lebih panjang berbanding model-model peranti keluaran Apple yang sebelumnya.


Katanya, Inari dilihat berada pada kedudukan strategik didorong oleh pengeluaran cip frekuensi radio (RF) dan pengenalan produk baharu yang berkait rapat dengan ekosistem peranti Apple.


"Syarikat ini akan meraih manfaat langsung peningkatan jualan global, terutamanya bagi model iPhone 17 Pro yang mendapat sambutan tinggi di pasaran utama seperti China," kata firma tersebut dalam notanya.


Justeru, PublicInvest menaikkan saranan kepada 'outperform' dengan harga sasaran baharu RM2.37, selepas menyemak naik unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27 hingga FY29 sebanyak 2% hingga 4%.


Keadaan itu katanya, disokong oleh prospek pengisian tempahan pelanggan lebih stabil dan Inari menjangkakan faktor pengisian dalam dua suku akan datang bakal melepasi paras secara purata 70%.


Perkembangan positif tersebut turut dipacu oleh peningkatan kandungan cip RF dalam telefon pintar utama dan syarikat berkenaan juga sedang menguji pelbagai cip RF untuk jam tangan digital.


"Kami menilai situasi ini akan membolehkan Inari meraih faedah dengan peluang memperoleh tempahan tambahan apabila pesaing utama kini beroperasi pada kapasiti maksimum," kata PublicInvest.


Dalam sektor automotif, Inari bakal menjadi penguji eksklusif bagi pelanggan utama di Malaysia, dengan volum pengujian dijangka berganda berikutan pemindahan peralatan daripada penyedia lain.


Segmen optoelektronik katanya, menunjukkan perkembangan positif apabila operasi tempatan beralih kepada teknologi baharu dan menikmati lonjakan permintaan terutama yang berkaitan pusat data.


Langkah strategik Inari memegang 25% kepentingan dalam Lumileds International bersama rakan kongsi China, Sanan Optoelectronics, dilihat PublicInvest, berpotensi menjadi pemangkin jangka panjang.


"Walaupun mungkin menanggung sedikit kerugian dalam tahun pertama, kami jangka sumbangan hasil bakal melonjak menjelang FY27, terutama apabila menerima sehingga 50% kerja pemasangan," katanya.


Sementara itu, data awal menunjukkan tempoh pratempahan bagi semua model iPhone 17 meningkat didorong penambahbaikan signifikan dalam hayat bateri, teknologi kamera, dan ketahanan peranti.


Di China, jualan awal iPhone 17 yang mengandungi lebih 200 ciri baharu, mencatat rekod, meskipun terdapat sedikit kelewatan penghantaran model iPhone Air akibat isu peraturan tempatan.


Secara keseluruhan, PublicInvest melihat Inari berada pada laluan pemulihan yang kukuh, disokong oleh permintaan kukuh untuk iPhone 17, pertumbuhan dalam segmen automotif dan optoelektronik.


"Kami turut yakin dengan langkah pelaburan strategik kumpulan ini dalam Lumileds yang dijangka mula menyumbang ketara pada tahun-tahun akan datang," kata firma penyelidikan itu. - DagangNews.com