KUALA LUMPUR 6 Jun — UMediC Group Berhad diunjur mencatatkan kelemahan dalam permintaan ke atas jualan peralatan perubatan yang dikeluarkan oleh kumpulan berkenaan, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ia antara risiko kelemahan syarikat berkenaan disebabkan oleh potensi besar kelembapan pada masa ini selain gangguan kepada operasi dan kehilangan lesen tertentu.
Situasi tersebut dapat dilihat apabila ia merekodkan penyusutan keuntungan bersih kira-kira dua peratus tahun ke tahun (YoY) sebanyak RM5.7 juta pada tempoh 9MFY25 yang di bawah ramalan firma itu sendiri.
"Perkembangan negatif ini disebabkan terutamanya oleh faktor volum jualan yang lebih lemah daripada jangkaan menerusi segmen pembuatan dan pengedaran," kata Phillip Capital dalam nota kajiannya.
Hasil diperoleh sepanjang sembilan bulan berkenaan tambahnya, hanya RM36.3 juta, merosot 9 peratus YoY) setelah diheret oleh sumbangan yang lebih rendah daripada dua segmen kumpulan tersebut.
Ia merangkumi pembuatan apabila menjunam 19 peratus dan segmen pengedaran yang jatuh tiga peratus, tetapi mujur diimbangi oleh hasil pada 3QFY25 apabila meningkat pula satu peratus suku ke suku (QoQ).
Keadaan itu kata Phillip Capital, didorong tempahan kukuh ke atas pembuatan produk UMediC dan dibantu jentera baharu yang akan tiba Jun 2025 dengan pentauliahan mengambil masa satu suku.
Kapasiti pengeluaran kumpulan tersebut ketika ini adalah 85 peratus, dengan penyiapan penuh disasarkan pada Julai 2025 terutama untuk produk popular tertentu seperti pelembap HydroX.
"Pengeluaran bulanannya dijangka meningkat sehingga kapasiti penuh 1.1 juta botol pada suku keempat FY25 selepas dinaik taraf berbanding pada masa ini berlegar 70 peratus," kata firma itu.
Phillip Capital menjangkakan sumbangan hasil yang lebih kukuh pada FY26 disokong oleh usaha aktif pengurusan mendapatkan tempahan baharu dan memacu penggunaan optimum kapasiti pengeluaran.
Bagaimanapun firma itu mengurangkan unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 sebanyak 23 hingga 29 peratus untuk mengambil kira jualan lebih perlahan daripada jangkaan berbanding segmen pembuatan.
Berdasarkan perkembangan tersebut, ia mengekalkan saranan "beli" ke atas UMediC dengan menurunkan harga sasaran sesahamnya kepada 45 sen berbanding 78 sen sebelum ini. - DagangNews.com








