KUALA LUMPUR 27 Ogos – Leong Hup International Berhad mampu mengekalkan prestasi stabil bagi separuh pertama tahun kewangan 2025 dengan keuntungan bersih RM192 juta, meningkat 27% berbanding tahun lalu, menurut penganalisis.
Maybank Investment Bank (Maybank IB) berkata, perkembangan itu disokong oleh permintaan kukuh dalam pasaran domestik serta margin teguh untuk segmen penternakan ayamnya di Malaysia dan Filipina.
Tambahnya, keputusan 2QFY25 yang membawa keuntungan bersih sebanyak RM90 juta juga menepati jangkaan firma penyelidikan tersebut, dan menyumbang sebanyak 52% daripada unjuran setahun penuh.
"Kami masih lagi mengekalkan saranan 'beli' namun dengan harga sasaran (TP) baharu iaitu 82 sen, sedikit dinaikkan hasil pelarasan kepada tahun asas FY26," kata Maybank IB dalam nota kajiannya.
Sementara itu, RHB Research pula menyifatkan prestasi 1HFY25 yang dicatatkan Leong Hup sebagai kukuh meskipun segmen perniagaannya di Indonesia pula terus menekan hasil kumpulan berkenaan.
Pendapatan kumpulan menurun 9% tahun ke tahun (YoY) kepada RM4.3 bilion, terutamanya disebabkan kemerosotan jualan makanan ternakan sebanyak 17% dan kelemahan harga ayam di Indonesia.
Namun begitu tambah firma berkenaan, pertumbuhan positif di Malaysia, Vietnam dan Filipina terus menyokong keuntungan, dengan pendapatan kasar Leong Hup berjumlah RM518 juta bagi separuh tahun.
"Kami juga mengekalkan saranan 'beli' dengan TP 98 sen, berdasarkan unjuran 10 kali perolehan FY25 dan menganggap saham ini murah kerana diniagakan di bawah purata 5 tahun," kata RHB Research.
Dalam pada itu, MBSB Research berpendapat, prestasi 2QFY25 agak lemah dengan keuntungan bersih RM90.3 juta, tetapi selari jangkaan kerana sumbangan kebiasaannya besar pada separuh kedua tahun.
Hasil suku tersebut menurun sebanyak 9.4% YoY kepada RM2.13 bilion, diseret oleh segmen makanan ternakan yang didapati lemah di ketiga-tiga negara utama iaitu Indonesia, Vietnam, Malaysia.
Bagaimanapun kata MBSB Research, margin keuntungan teras 1HFY25 meningkat kepada 4.5% (+1.3 mata peratusan YoY), berikutan kecekapan operasi dan prestasi kukuh dalam pasaran ayam domestik.
"Kami juga mengekalkan saranan 'beli' dengan harga sasaran 90 sen, berdasarkan unjuran pendapatan 7.3 kali ganda kepada perolehan setiap saham pada FY25 dijangka sebanyak 12.4 sen," katanya.
Secara keseluruhan, Maybank IB menjangkakan permintaan ayam domestik kekal stabil bagi separuh kedua 2025, disokong oleh kestabilan harga bahan makanan ternakan seperti jagung dan kacang soya.
Firma berkenaan turut optimis dengan jangkaan pengukuhan ringgit Malaysia dan keadaan itu dijangka membantu mengekalkan margin kumpulan sekiranya harga ayam di pasaran serantau kekal perlahan.
RHB Research dan MBSB Research turut menyatakan industri ayam serantau kini lebih mampan, berikutan penyusunan semula pasaran pasca pandemik dan penyingkiran pemain kecil yang tidak cekap.
"Keadaan ini memberi ruang kepada pemain besar seperti Leong Hup untuk memanfaatkan skala ekonomi dan mengukuhkan lagi kedudukan pasaran melalui usaha perluasan kapasiti," kata firma berkenaan.
Bagaimanapun, mereka turut memberi amaran risiko utama terhadap unjuran termasuk kenaikan mendadak kos input serta ketidakseimbangan permintaan dan penawaran dalam pasaran. - DagangNews.com








