KUALA LUMPUR 6 Okt – Permintaan besar global terhadap cip berprestasi tinggi (HPC) dijangka terus menjadi pemacu utama kepada pertumbuhan Frontken Corporation Berhad, menurut Phillip Capital.
Firma penyelidikan tersebut menjangkakan hasil keseluruhan kumpulan berkenaan pada FY25 mampu mencecah sebanyak RM619 juta, lonjakan ketara berbanding hanya kira-kira RM569 juta pada FY24.
Katanya, separuh kedua FY25 (2HFY25) dijangka menyumbang hasil RM330 juta dan untung bersih RM78 juta, didorong penggunaan kapasiti lebih tinggi daripada pelanggan utama semikonduktor di Taiwan.
"Frontken turut memperoleh pengesahan pelanggan baharu di Singapura, serta persediaan awal untuk pembinaan Loji 3 yang setinggi lapan tingkat di Taiwan," kata Phillip Capital dalam satu nota kajiannya.
Tambahnya, dalam prestasi suku kedua FY25 (Q2FY25), ia mencatat untung bersih teras RM53 juta, meningkat 60% tahun ke tahun (YoY), manakala hasil pula meningkat kepada RM157 juta (+16% YoY).
Kedua-duanya jelas firma itu, merupakan paras tertinggi dalam sejarah syarikat berkenaan dengan operasi di Taiwan menjadi antara penyumbang utama, iaitu peningkatan margin kasar kepada 48%.
Perkembangan positif tersebut kata Phillip Capital, hasil daripada penggunaan operasi lebih cekap dan campuran produk bernilai tinggi, manakala margin kasar kumpulan juga melonjak kepada 44%.
"Prestasi kukuh ini menyebabkan kami menyemak naik unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 sebanyak 16% hingga 19%, serta menaikkan harga sasaran saham kepada RM5.20 berbanding RM4.50," katanya.
Keadaan tersebut jelasnya, menunjukkan potensi kenaikan saham Frontken sekitar 19.5% daripada harga semasa sebanyak RM4.35 sesaham, di samping firma berkenaan mengekalkan saranan "beli'.
Bagi tempoh 6 bulan pertama FY25, kumpulan itu merekodkan untung bersih teras RM85 juta (+35% YoY), mewakili 57% daripada unjuran firma penyelidikan berkenaan dan 50% konsensus pasaran.
Phillip Capital berkata, prestasi positif itu sebenarnya melebihi jangkaan dengan disumbang oleh kekuatan operasi di Taiwan serta peningkatan pelaburan kapasiti di kemudahan P1 dan P2.
"Frontken menunggu kelulusan akhir pelanggan baharu di Singapura, dengan sumbangan penuh dijangka mula 4QFY25, di samping dalam rundingan dengan syarikat teknologi Amerika Syarikat (AS)," katanya.
Dengan unjuran permintaan global terhadap yang terus kukuh, ditambah pula rancangan pengembangan loji di Taiwan, Frontken dilihat di kedudukan terbaik memanfaatkan lonjakan pasaran semikonduktor.
Justeru, Phillip Capital menegaskan Frontken kekal sebagai pilihan utama sektor, disokong asas kukuh, pengkhususan dalam rantaian nilai hadapan semikonduktor, dan pertumbuhan berterusan. - DagangNews.com








