KUALA LUMPUR 19 Jun – Permintaan kukuh dan dasar pendapatan yang menyokong dijangka terus memacu sektor automotif meskipun jualan kenderaan tahun ini menyusut berbanding 2024, menurut penganalisis.
Data Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan jumlah keseluruhan industri (TIV) tahun ini disasarkan sebanyak 780,000 unit, lebih rendah berbanding rekod tertinggi negara iaitu 816,724 unit yang dicatatkan pada 2024.
Setakat Mei 2025, TIV terkumpul berjumlah 316,737 unit atau 40.6% daripada sasaran, namun susut 5% berbanding 333,309 unit dalam tempoh sama tahun lalu.
Bagi bulan Mei sahaja, TIV meningkat 12.4% kepada 68,007 unit berbanding 60,527 unit pada April, didorong peningkatan jualan kenderaan penumpang 12.1% bulan ke bulan (m-o-m) kepada 55,971 unit.
Jualan kenderaan perdagangan turut naik 15.2% m-o-m kepada 5,250 unit.
BIMB Securities mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor automotif, disokong permintaan yang stabil serta dasar pendapatan yang menyokong pengguna.
BIMB Securities pula memberi amaran terhadap risiko penurunan, termasuk gangguan rantaian bekalan global, sentimen pengguna yang lemah susulan kos sara hidup meningkat, serta tekanan persaingan daripada pengeluar peralatan asal (OEM) China berikutan perang harga EV yang berterusan.
Data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menunjukkan pendaftaran EV meningkat 44% m-o-m kepada 4,152 unit pada Mei, dipacu oleh strategi harga agresif daripada pengeluar China termasuk jenama pertengahan dan premium.
Untuk mencapai sasaran 10,000 pengecas menjelang akhir tahun, pemasangan bulanan perlu melebihi 830 unit.- DagangNews.com








