KUALA LUMPUR 6 Jan — Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang diperluaskan serta subsidi bahan api bersasar tidak menjejaskan permintaan sektor hartanah pada 2025, menurut RHB Research.
Sebaliknya, firma penyelidikan tersebut terus mengekalkan penarafan 'overweight' ke atas sektor itu dengan Sunway Berhad dan Sime Darby Property Berhad sebagai pilihan utama yang perlu diberi perhatian.
Katanya, jualan hartanah agregat bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025 (9M25) meningkat 11.4% tahun ke tahun (YoY), manakala jualan pada suku ketiga melonjak 40% suku ke suku (QoQ) dan 46% YoY.
"Situasi ini mencerminkan daya tahan permintaan yang teguh, meskipun ada perubahan dasar fiskal telah dilaksanakan pada separuh kedua tahun berkenaan," jelas RHB Research dalam notanya hari ini.
Menurut firma berkenaan, 2026 dijangka menjadi tahun yang penting kepada sektor tersebut dengan beberapa pemangkin utama termasuk penyenaraian Sunway Healthcare Group di Bursa Malaysia pada 1Q26.
Selain itu jelasnya, pusat data (DC) pertama Sime Darby Property di Elmina siap pada 3Q26, serta prospek besar REIT dengan aktiviti penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam kalangan pemaju.
Sentimen sektor berkenaan kata RHB Research, turut dijangka disokong oleh penyiapan Sistem Transit Rapid (RTS) Johor Bahru–Singapura menjelang akhir 2026, yang berpotensi merancakkan pasaran.
"Kami menjangka banyak pelancaran projek hartanah baharu di wilayah Iskandar Malaysia, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan jualan sepanjang tahun ini," tambah firma penyelidikan tersebut.
Pada masa sama, ia berpandangan inisiatif pembukaan nilai melalui latihan korporat berupaya menjadi pemangkin harga saham, termasuk kemungkinan dividen khas atau dividen tertentu bagi pemegang saham.
Di samping dua syarikat pemaju hartanah berkenaan, RHB Research turut menilai SP Setia Berhad sebagai berpotensi luas dalam menyenaraikan segala aset pelaburan mereka untuk diteroka pelabur.
Dalam persekitaran kadar faedah yang semakin longgar, firma itu menjangkakan peningkatan aktiviti pembelian tanah, pemerolehan aset dan M&A serta rancangan pengukuhan pegangan hartanah industri.
"Secara keseluruhan, prospek sektor hartanah kekal positif, dipacu oleh permintaan yang berdaya tahan, pemangkin jelas menjelang 2026 serta keadaan pembiayaan lebih kondusif," katanya. - DagangNews.com








