Perluasan SST dijangka beri kesan atas sektor pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perluasan SST dijangka beri kesan atas sektor pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan - penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 10 Jun — Perluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 dijangka hanya memberi kesan secara terhad ke atas beberapa sektor tertentu seperti pembinaan, kewangan dan penjagaan kesihatan, kata penganalisis.


CIMB Securities namun tidak menolak kemungkinan kurang positif kepada sektor pengguna berikutan peningkatan kos operasi, yang dikhuatiri membawa tekanan inflasi lebih besar dalam tempoh terdekat, apabila berlaku pelarasan semula harga barangan dan perkhidmatan.


Perkembangan itu kata firma penyelidikan tersebut, boleh menjejaskan keyakinan pengguna, terutama dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah hingga sederhana, selain percaya syarikat-syarikat pengguna juga berpotensi untuk menghadapi pula tekanan margin.


“Sebaliknya, permintaan untuk barangan ruji pengguna diramal kekal berdaya tahan, yang memberi manfaat kepada pengeluar serta peruncit makanan dan minuman (F&B) kerana campuran produknya condong kepada keperluan harian,” katanya dalam satu nota kajian.


Justeru, CIMB Securities berkata, ia terus menyokong syarikat yang mendapat manfaat daripada permintaan tidak anjal untuk keperluan harian, dan berada pada kedudukan terbaik meraih trend penurunan dagangan pengguna dengan menyasarkan segmen pasaran luas.


Firma itu mengekalkan saranan 'neutral' terhadap sektor pengguna, yang didagangkan pada hampir 27 kali ganda harga setiap pendapatan setahun ke hadapan namun berkata, penilaian tersebut "adil pada ketika ini", mencerminkan sentimen lemah pengguna berterusan. 


Pilihan utamanya ialah 99 Speed ​​Mart Holdings Berhad, Farm Fresh Berhad dan Padini Holdings Bhd manakala dalam sektor itu, ia memberi saranan 'beli' ke atas MR DIY Group (M) Berhad, Mynews Holdings Bhd, Fraser & Neave Holdings Berhad dan Aeon Co (M) Berhad.


Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB), dalam nota berasingan pula berkata, pelaksanaan SST yang diperluaskan dilihat sebagai bukan perkembangan besar kepada pasaran tempatan, dengan kesan adalah terhad ke atas keuntungan sektor-sektor lain.


Ia berkata, sektor pembinaan terlindung dengan baik, berikutan kebanyakan struktur kontrak membenarkan laluan kos, manakala permintaan perbankan sebahagian besarnya masih tidak anjal, dan penyedia penjagaan kesihatan mengekalkan kelebihan kukuh harga serantau.


Firma penyelidikan itu menjangkakan kesan terhadap inflasi adalah terhad, memandangkan sifat sasaran pelarasan SST, yang digunakan terutama untuk barangan tidak penting secara kebiasaannya hanya digunakan dalam kalangan isi rumah berpendapatan tinggi. 


Ia turut merujuk ramalan indeks harga pengguna (CPI) yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan (MOF) adalah stabil dalam julat antara 2.0 peratus hingga 3.5 peratus.


MOF telah mengumumkan pelaksanaan SST yang diperluaskan akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2025 dan di bawah rangka kerja percukaian disemak, cukai jualan sebanyak 5 hingga 10 peratus akan dikenakan ke atas item-item tidak penting terpilih.


Pada masa sama, cukai perkhidmatan 6 atau 8 peratus diperluaskan meliputi kategori perkhidmatan tambahan, termasuk penyewaan atau pajakan, pembinaan, perkhidmatan kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan swasta dan perkhidmatan kecantikan. - DagangNews.com