Perluasan projek di Uzbekistan teguhkan Sunview dalam industri tenaga boleh diperbaharui – TA Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perluasan projek di Uzbekistan teguhkan Sunview dalam industri tenaga boleh diperbaharui – TA Securities

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR, 30 Sept – Langkah strategik Sunview Group Berhad mengembangkan operasi ke peringkat global menandakan fasa baharu dalam pertumbuhan syarikat berkenaan, menurut TA Securities.


Firma penyelidikan itu berpendapat, pembangunan loji solar berskala besar (LSS) di Uzbekistan juga menunjukkan keseriusan syarikat dalam portfolio tenaga boleh diperbaharui (RE) bersifat antarabangsa.


Syarikat kini dalam proses membangunkan loji LSS berkapasiti 600MW yang dipadankan dengan sistem simpanan tenaga bateri (BESS) 100MW/200MWh, sekali gus memperkukuh segmen (RE) di luar Malaysia.


"Usaha ini dijangka membuka laluan baharu kepada pendapatan berulang jangka panjang dan meningkatkan keterlihatan jenama syarikat di peringkat sejagat," kata TA Securities dalam satu notanya.


Ia menilai langkah ini sebagai sebahagian daripada strategi jangka panjang Sunview tidak hanya menjadi peneraju domestik dalam sektor solar, tetapi pemain serantau dalam landskap tenaga hijau.
 

Justeru, firma itu memulakan liputan ke atas Sunview dengan saranan ‘pegang' dan menetapkan harga sasaran 41 sen sesaham, berdasarkan penilaian 18 kali unjuran keuntungan tahun kewangan 2026.


Walaupun mengiktiraf potensi pertumbuhan besar dalam sektor RE, TA Securities menyatakan penilaian diskaun adalah wajar, susulan faktor seperti kecairan saham akibat pengumpulan dana sebelum ini.


"Situasi itu turut disebabkan faktor margin dan pulangan ekuiti (ROE) yang lebih rendah berbanding pesaing tersenarai dalam kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC)," katanya.


Di peringkat domestik pula jelas firma berkenaan, Sunview dijangka terus meraih banyak manfaat daripada dasar kerajaan yang proaktif melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).


Kerajaan menyasarkan 70% campuran RE menjelang 2050 dan Malaysia perlu meningkatkan kapasiti pemasangan tahunan daripada 0.5GW kepada 2.2GW, sejajar dengan matlamat 68GW menjelang 2050.


Berdasarkan rekod prestasi yang kukuh selama 12 tahun dalam bidang EPCC solar, Sunview kata TA Securities, dilihat sebagai antara pemain utama berpotensi besar dalam pelaksanaan sasaran itu.


"Kami turut ramal kitaran pengisian semula buku tempahan bakal meningkat, susulan pelaksanaan program LSS5 dan LSS5+ dengan jumlah kapasiti mencecah 4GW, serta pelancaran LSS6," katanya.


Kesemua projek baharu tersebut jelas firma berkenaan, dijangka memberi impak positif kepada kontraktor-kontraktor solar tempatan sendiri apabila tender diraih pemain utama seperti Sunview.


Kemenangan terbaharu Sunview dalam tender LSS5+, pencapaian terbesar setakat ini dalam kategori solar berskala utiliti, dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan hasil berulang yang lebih stabil.


Secara keseluruhan, TA Securities menyifatkan Sunview sebagai antara wakil utama pelaksanaan NETR negara, dengan kombinasi projek domestik dan antarabangsa yang mampu menjana pertumbuhan mampan.


Bagaimanapun, penilaian semasa dianggap sebagai mencerminkan sebahagian besar prospek masa depan, dengan saranan ‘pegang' masih dikekalkan buat masa ini. - DagangNews.com