KUALA LUMPUR 17 Okt – Usaha perluasan inisiatif bantuan tunai bersasar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) menjadi pemacu utama pertumbuhan 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad, kata RHB Research.
Menurut firma penyelidikan tersebut, momentum positif itu turut dirangsang oleh faktor peningkatan kuasa beli pengguna dalam kalangan kumpulan yang berpendapatan rendah atau B40 di seluruh negara.
Program SARA yang semakin popular menyalurkan banyak perbelanjaan langsung kepada barang runcit asas, memberi kelebihan besar kepada peruncit seperti 99 Speed Mart dengan jaringan kedai luas.
“Berdasarkan unjuran perbelanjaan melebihi RM3 bilion bagi program SARA pada 2026, kami melihat syarikat ini sebagai penerima manfaat utama dasar fiskal ini,” kata RHB Research dalam notanya.
Firma berkenaan menjangkakan lebih 1,400 kedai 99 Speed Mart sudah disepadukan dengan kemudahan SARA, daripada sekitar sejumlah 7,300 cawangan syarikat itu yang beroperasi di seluruh Malaysia.
Perkembangan ini tambah firma itu, menjadikan kumpulan peruncitan tersebut sebagai peneraju utama usaha pengedaran pelbagai barangan keperluan kepada penerima bantuan bulanan skim berkenaan.
Data RHB Research menunjukkan peralihan peruntukan kepada SARA dalam Belanjawan 2026, walaupun jumlah keseluruhan kekal RM15 bilion, menunjukkan kerajaan mahu banyak bantuan digunakan rakyat.
"Kedudukan ini menyokong pertumbuhan jualan 99 Speed Mart dan mengukuh penguasaan pasaran kumpulan kerana sebahagian besar produk keperluan pengguna ditawarkan syarikat tersebut," katanya.
Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dan menaikkan harga sasaran kepada RM3.56 daripada RM2.81, dengan potensi kenaikan 14%, berdasarkan penilaian yang mengambil kira prospek pertumbuhan cerah.
RHB Research turut menyemak unjuran pendapatan FY25 hingga FY27 masing-masing naik sebanyak 5%, 13% dan 14%, berikutan perluasan pantas kedai mesra SARA dan potensi pertambahan program itu.
99 Speed Mart dijangka terus meraih manfaat kecenderungan pengguna bergaji rendah ke pasar mininya berikutan isu tekanan inflasi dan perluasan pasaran melalui pembangunan platform jualan pukal.
"Langkah strategi pengedaran yang lebih luas dan kepelbagaian rantaian bekalan untuk tawaran produk lebih kompetitif turut memacu perkembangan kumpulan ini dalam jangka panjang," katanya.
Langkah tersebut jelas RHB Research, selari dengan corak perbelanjaan pengguna yang berhati-hati, namun ia turut menyenaraikan beberapa risiko berpotensi, termasuk isu reputasi jenama syarikat.
Selain itu 99 Speed Mart perlu berwaspada dengan perubahan tabiat pembelian pengguna, tetapi ia dilihat berdaya tahan menangani risiko menerusi kelebihan saiz dan kepercayaan pengguna. - DagangNews.com








