KUALA LUMPUR 2 Sept – Langkah 99 Speed Mart Retail Holdings Berhad memasuki pasaran China dengan pembukaan cawangan pertama di Fuzhou bermula 31 Ogos 2025, disambut baik RHB Research.
Firma penyelidikan itu menyifatkan usaha rintis syarikat pasar mini tersebut sebagai sebahagian daripada pelan pengembangan luar negara setelah pasaran domestik Malaysia mencapai tahap kematangan.
Ia mengekalkan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM2.81 sesaham, yang menawarkan potensi kenaikan sebanyak 12%, serta anggaran hasil dividen sekitar 2% bagi tahun kewangan 2026.
“Kami positif terhadap usaha itu kerana ia membuka peluang pertumbuhan jangka panjang, walaupun impak keuntungan jangka pendek dijangka minimum,” kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Menurut firma itu, langkah ke China adalah perluasan luar negara sulung syarikat, dan dilakukan 99 Speed Mart secara berhati-hati tanpa sebarang sasaran bilangan kedai tetap buat masa ini.
Kadar pembukaan kedai baharu tambahnya, akan bergantung sepenuhnya kepada prestasi cawangan awal dan menunjukkan kumpulan itu menyedari risiko pelaksanaan di pasaran kompetitif seperti China.
Bagaimanapun, RHB Research optimis dengan kekuatan kedudukan tunai bersih syarikat sekitar RM836 juta memberi ruang kewangan yang kukuh untuk menyokong sebarang pelaburan permulaan.
"Kami namun tidak membuat sebarang perubahan terhadap unjuran kewangan 99 Speed Mart pada ketika ini, memandangkan kesan peringkat awal pembukaan cawangan itu adalah masih minimum," katanya.
TP diunjur firma itu, berdasarkan penilaian diskaun aliran tunai (DCF), bersamaan 36 kali ganda unjuran pendapatan FY26, setanding syarikat pengguna berskala besar lain di bawah liputan RHB.
Berdasarkan kepada pemeriksaan awal, RHB Research mendapati tiada pemain utama rangkaian pasar mini di wilayah Fujian itu, yang mempunyai bilangan populasi melebihi daripad 40 juta penduduk.
Tambah firma penyelidikan berkenaan, pasaran di negara berkenaan pada masa ini dipercayai hanya didominasi oleh beberapa kedai runcit bebas kecil atau pasar raya berskala besar tempatan.
“Jika 99 Speed Mart berjaya adaptasi model perniagaan seperti di Malaysia, potensi pertumbuhan pasaran di China adalah besar dan berpeluang mempengaruhi corak perbelanjaan pengguna,” katanya.
Bagaimanapun, cabaran utama adalah keupayaan syarikat itu mengekalkan model kos rendah tanpa skala ekonomi sedia ada, memandangkan produk runcit di China lazimnya diperoleh secara tempatan.
Antara risiko yang dikenal pasti oleh RHB Research termasuk isu reputasi dan jenama, serta corak perubahan struktur keutamaan pengguna yang mungkin menjejaskan keberkesanan strategi perniagaan.
Secara keseluruhan, firma itu melihat 99 Speed Mart sebagai proksi utama kepada perbelanjaan pengguna yang kukuh di Malaysia, sambil menawarkan potensi lonjakan pendapatan. - DagangNews.com








