KUALA LUMPUR 29 Okt - Perjanjian pertahanan terbaharu Malaysia dan Korea Selatan bukan sahaja dalam aspek perolehan kelengkapan ketenteraan tetapi turut merangkumi penyelidikan dan pembangunan (R&D) teknologi pertahanan serta pengeluaran bersama peralatan ketenteraan.
Menurut laporan agensi berita negara tersebut Yonhap News Agency, MoU berkenaan dimeterai pada Isnin sempena Sidang Kemuncak ASEAN yang berlangsung di Kuala Lumpur.
Perjanjian tersebut dimeterai antara Menteri Pentadbiran Program Pemerolehan Pertahanan Korea Selatan, Seok Jong-gun dan Menteri Pertahanan Malaysia, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.


“Melangkaui sekadar eksport sistem senjata, Korea Selatan akan memainkan peranan sebagai rakan sejati dalam memperkukuh keupayaan pertahanan Malaysia serta memajukan industri pertahanannya.
“Usaha ini turut menyumbang kepada keamanan dan kestabilan serantau di Asia Tenggara,” kata Seok sebagaimana dilaporkan DAPA.
Korea Selatan sebelum ini menandatangani perjanjian bernilai AS$920 juta atau RM4 bilion dengan Malaysia pada tahun 2023 bagi membekalkan 18 pesawat pejuang ringan FA-50M buatan Korea Aerospace Industries (KAI).

Ini merupakan perolehan pertahanan terbesar Malaysia dengan negara itu selepas kejayaan eksport kenderaan berperisai K200 ke negara ini pada tahun 1993.
Aset ketenteraan lain yang pernah dibeli Malaysia adalah kapal KD Mahawangsa dibina oleh Korea Tacoma Shipyard di Korea Selatan dan dilancarkan pada 16 September 1982.
Kapal ini adalah aset Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan telah melaksanakan pelbagai misi termasuk diplomasi pertahanan dan pengangkutan aset tentera.
Dengan termeterainya perjanjian baharu ini, Korea Selatan kini telah menandatangani 52 memorandum persefahaman dengan pelbagai negara di seluruh dunia dalam bidang kerjasama pertahanan.


Ia sejajar dengan aspirasinya untuk muncul sebagai pengeksport pertahanan keempat terbesar di dunia.
Bagi Malaysia, ini merupakan perjanjian kedua seumpamanya yang dimeterai dengan negara asing dalam bidang kerjasama pertahanan.

Hanya seminggu sebelum ini, Malaysia dan Korea Selatan turut menandatangani perjanjian pengiktirafan bersama pensijilan kelayakan udara pesawat tentera.
Ini juga merupakan perjanjian pertama seumpamanya antara Seoul dengan mana-mana negara Asia. - DagangNews.com







