KUALA LUMPUR 27 Okt – Pemeteraian Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia–Korea Selatan (MKFTA) akan menjamin akses bebas duti jangka panjang bagi pelbagai produk strategik eksport negara ini.
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, langkah berkenaan seperti makanan dan hasil pertanian, produk herba dan komoditi termasuk sawit dan koko mudah menembusi negara itu.
Tambahnya, usaha berkenaan turut merangkumi bahan kimia, petrokimia, serta kayu tropika dan papan lapis yang bakal memanfaatkan banyak syarikat tempatan bagi meneroka luas pasaran negara tersebut.
"MKFTA yang bersejarah ini membuka peluang baharu kerjasama ekonomi lebih dinamik dan mengukuh kedudukan Malaysia sebagai rakan strategik utama di rantau Asia Timur," katanya dalam kenyataan.
Ia menambah, Malaysia dan Korea Selatan menandatangani Kenyataan Bersama yang menandakan tamat rundingan MKFTA, satu langkah penting mengukuhkan hubungan strategik dua hala kedua-dua negara.
Majlis itu disempurnakan oleh Menteri MITI, Tengku Datuk Seri Utama Zafrul Aziz, bersama Menteri Perdagangan Korea Selatan, Yeo Han-koo, pada sesi luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di sini.
"MKFTA meliputi pelbagai bidang utama termasuk barangan, perkhidmatan, pelaburan, fasiliti kastam, perdagangan digital, ekonomi hijau, bioekonomi dan sanitari, kata MITI dalam kenyataan hari ini.
Bagaimanapun tambahnya, usaha kerjasama ekonomi dan pembinaan keupayaan akan menjadi fokus utama Malaysia dalam pelaksanaan perjanjian perdagangan berkenaan apabila dikuatkuasakan secara rasmi.
"Malaysia dan Korea Selatan juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Strategik Rantaian Bekalan, yang menekankan kepentingan keselamatan ekonomi dan daya tahan global," katanya.
Tengku Zafrul berkata, perjanjian ini dimeterai pada waktu tepat memandangkan hubungan perdagangan dua hala yang semakin kukuh, dengan potensi besar dalam ekonomi hijau, digital dan bioekonomi.

Perjanjian ini jelasnya, bukan sahaja memperluas peluang pasaran, malah berpotensi memberi manfaat kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta komuniti perniagaan di kedua-dua negara sendiri.
MKFTA tersebut merupakan FTA ke-19 dimeterai Malaysia, yang mencerminkan usaha negara memperluas pasaran eksport dan memperkukuhkan daya saing negara ini di tengah ketidaktentuan ekonomi global.
"Selain itu, perjanjian berkenaan menegaskan komitmen Malaysia terhadap aspek sistem perdagangan pelbagai hala di bawah kerangka Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO)," jelas kenyataan MITI lagi.
Pada 2024, Korea Selatan katanya, merupakan rakan dagang kelapan terbesar Malaysia dengan jumlah perdagangan kedua-dua negara mencatatkan nilai keseluruhan AS$24.01 bilion (RM109.68 bilion).
Eksport utama Malaysia terdiri produk elektrik dan elektronik, LNG, petroleum, produk logam serta peralatan optik dan saintifik, manakala import utama ialah bahan kimia, mesin, dan keluli.
Sejak 1980, Korea Selatan melabur RM61.9 bilion di Malaysia, dan mewujudkan lebih 83,000 peluang pekerjaan, manakala MKFTA mempunyai agenda kukuh dalam kerjasama ekonomi dan pembinaan kapasiti.
"Ini merangkumi bidang pembuatan, teknologi, inovasi, bioekonomi, mobiliti hijau, automasi, farmaseutikal dan pembangunan modal insan melalui latihan dan pertukaran kepakaran," tambah MITI.
Malaysia jelas kenyataan tersebut, berhasrat mencontohi kejayaan Korea Selatan sebagai kuasa besar inovasi digital, sambil berharap kerjasama yang lebih luas akan diwujudkan dalam bidang ini.
Hasil pemeteraian MKFTA, Malaysia kini berada pada landasan memperkukuh peranan ekonomi di rantau Asia Timur, sekali gus memacu pertumbuhan jangka panjang yang mampan. - DagangNews.com








