KUALA LUMPUR 16 April - Perdana Petroleum Bhd memperoleh dua kontrak daripada PETRONAS Carigali Sdn Bhd bagi penyewaan dua kapal bekalan tunda dan pengendalian sauh (AHTS) untuk menyokong operasi luar pesisir.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan itu berkata kontrak berkenaan diperoleh menerusi anak syarikat milik penuhnya, Perdana Nautika Sdn Bhd pada 8 April lalu.
Menurutnya, salah satu kontrak melibatkan tempoh 303 hari dengan opsyen lanjutan selama 40 hari, manakala satu lagi merangkumi tempoh 224 hari dengan tambahan opsyen 40 hari.
“Tempoh pajakan bagi kedua-dua kapal akan bermula selepas pengeluaran sijil ‘on-hire’,” katanya.
Di bawah perjanjian tersebut, Perdana Nautika akan menyediakan kapal AHTS lengkap dengan kru dan peralatan untuk menyampaikan perkhidmatan sokongan luar pesisir secara berterusan selama 24 jam.
Perkhidmatan itu merangkumi sokongan kepada pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir, tongkang derrick serta operasi penundaan dan pengendalian sauh.
Bagaimanapun, nilai kontrak tidak didedahkan kerana ia bergantung kepada perintah kerja yang dikeluarkan oleh PETRONAS Carigali sepanjang tempoh pelaksanaan.
Perdana Petroleum berkata kontrak tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan serta aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2026 dan 2027, tidak termasuk sebarang tempoh lanjutan. - DagangNews.com








