KUALA LUMPUR 20 Mei - Perdagangan Malaysia mencatatkan peningkatan 28.6% tahun ke tahun kepada rekod RM336.73 bilion pada April 2026, dipacu terutamanya oleh prestasi kukuh eksport produk elektrik dan elektronik (E&E).
Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) berkata, prestasi perdagangan negara kekal kukuh walaupun berdepan ketidaktentuan global termasuk ketegangan geopolitik di Asia Barat yang memberi kesan kepada kos logistik, rantaian bekalan serta turun naik harga komoditi.
Menurutnya, eksport terus mencatat pertumbuhan bagi bulan ke-10 berturut-turut dengan lonjakan 36.9% kepada rekod RM182.74 bilion, sekali gus melepasi paras tertinggi sebelumnya pada Disember 2025.
“Peningkatan ini dipacu oleh pengembangan dua digit dalam produk eksport utama, khususnya E&E yang meningkat sebanyak RM28 bilion kepada paras tertinggi baharu berikutan permintaan kukuh daripada segmen kecerdasan buatan (AI) dan elektronik automotif,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, import turut meningkat 20% kepada RM153.99 bilion, sekali gus menyumbang kepada lebihan dagangan sebanyak RM28.75 bilion.
Dengan itu, Malaysia merekodkan lebihan dagangan bagi bulan ke-72 berturut-turut sejak Mei 2020.
MITI berkata, pertumbuhan eksport turut disokong oleh peningkatan dalam produk petroleum, keluaran logam, peralatan optik dan saintifik serta jentera, peralatan dan alat ganti, dengan beberapa kategori mencatat nilai bulanan tertinggi dalam rekod.
Menurutnya lagi, eksport ke semua rakan dagang utama termasuk ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Taiwan dan Kesatuan Eropah (EU) mencatat pertumbuhan dua digit yang kukuh, dengan penghantaran ke ASEAN, Taiwan dan EU merekodkan paras tertinggi baharu.
“Rangkaian perjanjian perdagangan bebas (FTA) Malaysia terus memainkan peranan penting dalam memudahkan akses pasaran serta mempelbagaikan destinasi eksport,” katanya.
Bagi tempoh Januari hingga April 2026, MITI berkata jumlah perdagangan negara melepasi RM1 trilion lebih awal berbanding tahun sebelumnya, dengan peningkatan 15.3% kepada RM1.127 trilion.
Dalam tempoh itu, eksport meningkat 19% kepada RM609.31 bilion manakala import naik 11.1% kepada RM517.40 bilion, sekali gus menggandakan lebihan dagangan kepada RM91.92 bilion.
MITI berkata, pihaknya akan terus memantau perkembangan perdagangan global secara rapat serta memastikan daya tahan sektor perdagangan negara kekal kukuh dalam menghadapi cabaran luaran. - BERNAMA








