Perdagangan Malaysia melonjak 12.6% kepada RM272.4 bilion pada Januari 2026 - DOSM | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perdagangan Malaysia melonjak 12.6% kepada RM272.4 bilion pada Januari 2026 - DOSM

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Feb – Malaysia memulakan tahun 2026 dengan prestasi perdagangan yang kukuh apabila jumlah dagangan meningkat 12.6% kepada RM272.4 bilion pada Januari 2026, disokong pertumbuhan dua digit eksport serta kenaikan import yang lebih sederhana.

 

Menurut Buletin Perangkaan Perdagangan Luar Negeri Malaysia Januari 2026 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), eksport melonjak 19.6% kepada RM146.9 bilion manakala import meningkat 5.3% kepada RM125.5 bilion.

 

Lebihan dagangan turut melonjak 483.9% kepada RM21.4 bilion, sekali gus menandakan lebihan dagangan bagi bulan ke-69 berturut-turut sejak Mei 2020.

 

Bagaimanapun, berbanding Disember 2025 jumlah eksport, import, jumlah dagangan dan lebihan dagangan masing-masing mencatatkan penyusutan 3.9%, 4.0%, 3.9% dan 3.2%.

 

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata peningkatan perdagangan ke luar negara disumbangkan oleh pertumbuhan eksport domestik dan juga aktiviti eksport semula yang lebih tinggi.

 

“Eksport semula yang merangkumi 26.1% daripada jumlah eksport meningkat 51.5% tahun ke tahun kepada RM38.3 bilion, manakala eksport domestik yang menyumbang 73.9% berkembang 11.3% kepada RM108.6 bilion.

 

“Dari segi kumpulan barangan, 156 daripada 258 kumpulan eksport dan 159 daripada 260 kumpulan import mencatatkan peningkatan berbanding Januari 2025,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pertumbuhan eksport didorong terutamanya oleh peningkatan penghantaran barangan elektrik dan elektronik (E&E) sebanyak RM20 bilion, diikuti keluaran perkilangan lain (+RM1.9 bilion), barangan optik dan saintifik (+RM1.5 bilion), bijih logam dan serpihan logam (+RM1.3 bilion), lain-lain (+RM839.3 juta) serta jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM763.1 juta).

 

Bagi import pula, peningkatan disumbangkan oleh barangan elektrik dan elektronik (+RM3.2 bilion), jentera, kelengkapan dan peralatan (+RM1.5 bilion), bijih logam dan serpihan logam (+RM1.4 bilion), barangan optik dan saintifik (+RM506.1 juta), tekstil, pakaian dan kasut (+RM480.1 juta) serta barang kemas (+RM470.7 juta).

 

Dari perspektif rakan dagang, eksport meningkat terutamanya ke Amerika Syarikat (+RM5.8 bilion), Taiwan (+RM4.4 bilion), Hong Kong (+RM4.3 bilion), Kesatuan Eropah (+RM2.5 bilion), China (+RM2.1 bilion), Viet Nam (+RM1.9 bilion) dan Mexico (+RM1.7 bilion).

 

Import pula sebahagian besarnya mencerminkan aliran masuk lebih tinggi dari China (+RM5 bilion), Costa Rica (+RM1.8 bilion), Singapura (+RM1.5 bilion), Thailand (+RM1.5 bilion), Kesatuan Eropah (+RM882.9 juta), Hong Kong (+RM632.8 juta) dan Viet Nam (+RM608.4 juta).

 

Mengikut Klasifikasi Penggunaan Akhir, import barangan penggunaan yang merangkumi 9.3% daripada jumlah import meningkat 16.7% atau RM1.7 bilion kepada RM11.7 bilion. 

 

Namun, import barangan modal yang mewakili 12.6% daripada jumlah import menyusut 20.7% atau RM4.1 bilion kepada RM15.8 bilion, manakala import barangan perantaraan yang menyumbang 45.9% daripada jumlah import menurun 5.1% atau RM3.1 bilion kepada RM57.7 bilion berbanding Januari 2025. - DagangNews.com